Search This Blog

Wednesday, January 8, 2014

Kastam rampas mercun, bunga api RM750,000


PELABUHAN KLANG 8 Jan. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas mercun dan bunga api bernilai RM751,025 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kebun Klang, Jumaat (3 Januari) lepas, kata Pengarahnya, Badaruddin Mohamed Rafik.
Beliau berkata, rumah dua tingkat yang dipenuhi 665 kotak berisi barang larangan itu dipercayai digunakan sebagai stor dan barang yang dirampas mempunyai nilai cukai RM488,166.
Bagaimanapun tiada sebarang tangkapan semasa serbuan dan pihaknya sedang menyiasat pemilik dan penyewa rumah itu, katanya pada sidang media di sini hari ini.
"Bunga api dan mercun itu dipercayai dibawa masuk dari luar negara untuk dijual sempena sambutan Tahun Baharu Cina hujung bulan ini," katanya.
Badaruddin berkata, kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 berkaitan perbuatan menyimpan dan memiliki barang belum lulus kastam yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dan didenda.
Badaruddin turut mendedahkan bahawa pada 2 Jan lepas, Kastam menyerbu sebuah rumah kedai di Taman Cheras Utama Kuala Lumpur dan merampas 5,208 botol arak dan menahan tiga lelaki warga Myanmar berumur dalam lingkungan 26 tahun.
Nilai rampasan arak dianggarkan RM73,735 melibatkan jumlah cukai RM214,720. Berdasarkan maklumat, premis terbabit digunakan untuk mengilang, menyimpan dan mengedar minuman keras bagi tujuan pasaran tempatan, katanya.
Beliau berkata: "Hasil siasatan di premis itu membawa kepada penemuan satu terowong rahsia ke premis bersebelahan yang digunakan sebagai kilang memproses minuman keras tanpa lesen yang sah."
Turut dirampas dalam serbuan hasil maklumat orang awam itu ialah beberapa buah mesin yang digunakan untuk mengilang minuman keras, katanya.
Badaruddin berkata, ketiga-tiga suspek masih ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Siasatan dilakukan di bawah akta yang sama kerana memiliki dan menyimpan barang belum lulus kastam serta peralatan tanpa lesen.
Beliau berkata, pihaknya telah melakukan persediaan untuk mengekang kemasukan barang larangan seperti mercun dan bunga api sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini dengan menjalankan operasi rondaan di pesisiran pantai dan pelabuhan selain melakukan imbasan terhadap kontena-kontena yang dibawa masuk melalui pelabuhan. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140108/je_10/Kastam-rampas-mercun-bunga-api-RM750000#ixzz2pnHkey00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment