Search This Blog

Friday, January 3, 2014

Kastam rampas 809.87kg dadah bernilai RM47.6 juta pada 2013


Chik Omar Chik Lim (dua dari kiri) menunjukkan satu daripada 14 pasang kasut berjaya dirampas yang diisi dadah jenis methamphetamine atau syabu pada bahagian tapaknya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam KLIA, Sepang semalam. Turut kelihatan Zahari Abdullah (dua dari kanan). - UTUSAN/Zaki Amiruddin
SEPANG 2 Jan. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya mematahkan 67 cubaan menyeludup dadah seberat 809.87 kilogram (kg) bernilai RM47.6 juta sepanjang tahun lepas.
Pengarahnya, Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, daripada jumlah itu, bangunan Terminal Utama KLIA mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu 29 kes, diikuti Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dengan 22 kes, kargo (10), Pusat Penghantaran Barang (5) dan satu kes di sekitar ibu negara.
Beliau berkata, jumlah kes pada tahun lalu juga menunjukkan peningkatan aktiviti penyeludupan berbanding tahun sebelumnya apabila pada 2012 JKDM KLIA hanya 61 kes penyeludupan dapat dipatahkan dengan rampasan dadah seberat 317.3 kg bernilai RM36.2 juta.
"Statistik tahun lalu menunjukkan penyeludupan dadah jenis syabu menjadi pilihan sindiket apabila sebanyak 225.9kg dadah jenis tersebut bernilai RM42.9 juta dirampas, rampasan kedua tertinggi ialah dadah jenis ketamin, 81.2kg dengan nilai RM2.8 juta.
"Jumlah tangkapan pada 2013 seramai 55 orang iaitu 31 lelaki dan 24 wanita, pecahan warganegara pula menyaksikan warga India dan China di kedudukan tertinggi iaitu masing-masing dengan 20 dan sembilan pesalah," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Turut bersama Ketua Penguatkuasaan Kastam KLIA, Zahari Abdullah.
Menurut Chik Omar, kejayaan terbaru JKDM KLIA ialah dapat mematahkan dua cubaan penyeludupan dadah oleh dua orang wanita warganegara China di LCCT pada 30 dan 31 Disember lalu.
"Wanita pertama berusia 19 tahun ditahan pada pukul 2.50 petang, 30 Disember lalu dan hasil pemeriksaan ke atas bagasi mendapati dia menyembunyikan 6.1kg serbuk putih yang dipercayai syabu bernilai RM1,159 juta di dalam 14 pasang tapak kasut.
"Hasil siasatan juga mendapati wanita berkenaan kali pertama masuk ke negara ini dengan menggunakan visa pelancong dan menaiki pesawat dari Shenzhen, China," katanya.
Tambah beliau, wanita kedua berusia 29 tahun pula ditahan pada pukul 1.30 petang, 31 Disember lalu selepas pemeriksaan pada bagasinya mendapati dia menyorokkan 3 kg syabu bernilai RM570,000 dalam dua gulungan wayar.
"Hasil siasatan suspek telah dua kali memasuki negara ini dengan menggunakan visa pelancong dan semasa ditahan suspek baru turun pesawat dari Hong Kong," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-dua suspek direman tujuh hari untuk siasatan dan jika disabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati mandatori mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, katanya, orang ramai diminta bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dadah dan juga barangan lain seperti rokok, minuman keras dan juga mercun dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140103/je_03/Kastam-rampas-80987kg-dadah-bernilai-RM476-juta-pada-2013#ixzz2pHql5ujd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment