Search This Blog

Sunday, January 26, 2014

JPJ menyamar penumpang


Melaka: Jumlah anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang ditugaskan menyamar sebagai penumpang bas untuk memerhati dan melaporkan kesalahan lalu lintas pemandu ditingkatkan sekali ganda sempena Ops Tahun Baru Cina (TBC) bermula kelmarin.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, ia berikutan taktik yang diperkenalkan tiga tahun lalu itu dilihat menunjukkan keberkesanan dengan pengurangan kadar kemalangan jalan raya di negara ini khususnya pada musim perayaan.


“Kita akan mempertingkatkan jumlah anggota penguat kuasa yang terbabit dalam taktik penyamaran di dalam bas sepanjang tempoh Ops TBC bermula hari ini (kelmarin) sehingga 9 Februari,” katanya.



“Jika dulu satu negeri menempatkan empat pasukan, pada kali ini ia ditambah kepada lapan. Peningkatan sekali ganda ini kerana kita dapati taktik penyamaran ini berkesan (mengurangkan jumlah kemalangan jalan raya),” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skuad Muda 1JPJ (SM1J) Peringkat Negeri Melaka, di sini, kelmarin. Hadir sama Pengarah JPJ negeri Mohd Fadhil Hassan.


Tahun lalu, JPJ menempatkan sehingga 250 anggota penguatkuasanya bagi melakukan taktik penyamaran dalam setiap operasi musim perayaan berbanding 125 anggota pada tahun sebelumnya.

Mengulas lanjut, Ismaial berkata, selain taktik penyamaran anggota penguat kuasa JPJ juga akan ditempatkan di 157 lokasi dikenal pasti di sepanjang laluan utama terutama yang disahkan kerap berlaku kemalangan maut sehingga Ops TBC berakhir 9 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

No comments:

Post a Comment