Search This Blog

Sunday, January 26, 2014

Jemaah terkandas di saat akhir


AMRAN ALI
26 Januari 2014

Jemaah terkandas di saat akhir
Jemaah terkandas di saat akhir Pasport dan kad pemeriksaan kesihatan bakal jemaah sudah siap.
Jemaah terkandas di saat akhir
Sebahagian bakal jemaah berkumpul di Masjid Al Faizin, petang semalam.



BUKIT RAMBAI - Bayangkan, ketika bersemangat untuk mengerjakan ibadah umrah, tiba-tiba mendapat tahu penerbangan ke Tanah Suci ditangguhkan tanpa alasan kukuh.

Itulah nasib yang dihadapi 143 bakal jemaah umrah dari Kampung Bukit Rambai, dekat sini, semalam.

Ada dalam kalangan mereka naik angin apabila diberitahu penerbangan mereka ditangguhkan kurang daripada 24 jam waktu sepatutnya mereka berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Jemaah terbabit mendapat tahu penerbangan yang sepatutnya berlepas jam 7 petang semalam ditangguhkan, menerusi panggilan telefon daripada ejen, kira-kira 10.30 malam kelmarin.

Lebih mengecewakan, sebahagian jemaah sudah pun siap berpakaian ihram ketika tiba di Masjid Al-Faizin, dekat sini, pagi semalam, iaitu tempat mereka berkumpul sebelum ke bergerak KLIA kerana tidak mengetahui penerbangan ditangguhkan.

Mereka berasa kecewa, dengan setengah daripada mereka dan anggota keluarga marah dengan penangguhan di saat terakhir begitu, tambahan pula ini adalah kali kedua penerbangan mereka ditangguhkan.

Sebelum ini mereka dijanjikan bertolak ke Tanah Suci pada 18 Januari lalu.

Salah seorang anak jemaah terlibat, Md Sarif Daud, 44, berkata, penangguhan saat akhir itu tidak sepatutnya berlaku kerana jemaah, termasuk ibu bapanya, sudah bersiap untuk menunaikan umrah.

Menurutnya, dia dan anak-anak mengambil cuti semata-mata untuk menghantar ibunya, tetapi kecewa setelah agensi itu gagal memenuhi janji.

“Menurut kata agensi, tarikh dan masa penerbangan sudah tetap. Sebab itu kami sekeluarga membuat persiapan. Ada yang buat kenduri dan menyiapkan makanan untuk dibawa bersama.

“Ada juga antara saudara kami yang tidak tahu penerbangan dibatalkan. Mereka siap dengan pakaian ihram pagi ini (semalam) untuk berangkat,” katanya.

Norhani Musliatun Abu Bakar, 36, pula berkata, sembilan ahli keluarganya yang mengikuti rombongan mengerjakan umrah itu turut berasa kecewa apabila agensi memberi alasan visa belum diluluskan.

“Sudah dua kali alasan visa digunakan (untuk tangguh penerbangan). Tapi dalam masa sama, setiap kali mereka mengesahkan tarikh penerbangan, mereka memberikan nombor penerbangan, iaitu MH800 untuk bertolak dan MH801 untuk kembali ke tanah
air. Jika visa belum diluluskan, bagaimana mereka boleh menempah penerbangan?" katanya.

Menurutnya, ada antara jemaah yang menghubungi syarikat penerbangan, bagaimanapun syarikat penerbangan itu mengesahkan nama kami tiada dalam senarai penerbangan pada tarikh dinyatakan itu.

Malah, kira-kira 11 pagi semalam, Norhani turut menyamar sebagai pelanggan baru menghubungi agensi pelancongan terbabit untuk mendapat kepastian.

“Saya hubungi mereka mengatakan kami rombongan 25 orang dari Johor ingin mengerjakan umrah dalam waktu terdekat. Mereka katakan masih ada kekosongan pada bulan lalu. Namun, selepas disemak menerusi internet, kami dapati kuota umrah
sehingga sepanjang tahun ini sudah penuh,” katanya yang mendakwa wujud kemusykilan pada agensi terbabit.


Agensi datang berbincang

Kerana rasa tertipu, semalam beberapa jemaah menghubungi agensi terbabit dan mendesak penjelasan.

Selepas dihubungi beberapa jemaah, akhirnya wakil agensi terbabit bersetuju hadir di Masjid Al-Faizin, semalam, untuk berbincang dengan jemaah terlibat.

Bagaimanapun, bakal jemaah serta ahli keluarga terpaksa menunggu hampir tiga jam di pekarangan masjid, walaupun wakil berkenaan berjanji akan datang jam 12 tengah hari.

Pertemuan jemaah dengan wakil ejen terpaksa membabitkan campur tangan Pengerusi Lembaga Masjid Al Faizin, Bukit Rambai, Datuk Shamsudin Mehat, untuk mengelakkan ketegangan.

Bagaimanapun, pihak agensi pada mulanya mahu menjalankan penerangan secara tertutup tetapi setelah ditegur pengerusi masjid terbabit, mereka mengadakannya secara terbuka.

Shamsudin berkata, wakil agensi itu mendakwa penerbangan itu terpaksa ditangguhkan akibat masalah visa dan tiket penerbangan.

"Visa sudah dikeluarkan Kedutaan Arab Saudi pada 20 Januari lalu tetapi agensi terbabit baru memperolehnya semalam. Mereka berjanji kesemua jemaah akan berangkat pada 3 Februari ini dengan menggunakan penerbangan MAS terus ke Madinah.

“Mereka akan pulang ke tanah air pada 13 Februari dari Jeddah ke Madinah dan pesawat pergi dan balik disewa khas.

“Sambil memohon maaf atas kesulitan, wakil agensi juga menyatakan mereka sedia memulangkan wang kepada jemaah yang tidak jadi mengerjakan umrah ekoran masalah ini.

"Malah, mereka berjanji menanggung perbelanjaan dua keluarga jemaah yang terpaksa menyewa rumah sementara sebelum bertolak,” katanya.

Shamsudin, bagaimanapun berkata, meskipun kemarahan penduduk kampung reda dengan penerangan dan janji baru wakil agensi terbabit, mereka sebenarnya masih ragu-ragu dan mengharapkan mereka tidak lagi dikecewakan selepas ini.

Difahamkan, menerusi pakej yang ditawarkan agensi pelancongan yang berpangkalan di Perak itu, jemaah hanya perlu menjelaskan bayaran RM3,700 manakala sebahagian kos lagi ditaja oleh seorang individu dari Arab Saudi.

No comments:

Post a Comment