Search This Blog

Friday, January 24, 2014

Jatuh laut bot dipukul ombak

Oleh Rosli Ilham
Dungun: “Anak meminta saya berdoa agar dia dapat banyak hasil tangkapan dan dimurahkan rezeki,” kata Fatimah Sulong, 57, menceritakan sikap pelik arwah anaknya itu sebelum terjatuh ke dalam laut di muara Kuala Dungun, di sini, malam kelmarin.
Mangsa, Muhammad Ariffin, 40, seorang nelayan dipercayai hilang selepas tercampak dari bot dinaikinya ketika dalam perjalanan pulang ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Dungun, di sini, kira-kira jam 9 malam.

Ketika kejadian, mangsa bersama tiga rakannya Fazli Mohamad, 37, Mohd Shamri Bakar, 44, Aidilhim Othman, 34, duduk di belakang bot manakala juragan bot Bahyuddin Awang, 28, mengendalikan bot. Semua nelayan terbabit berasal dari Kampung Seberang Pintasan, di sini.
Ketika memasuki muara terbabit, juragan bot itu dikatakan menjerit meminta semua awak-awaknya bersedia selepas menyedari bot dipukul ombak menyebabkan ia terumbang-ambing sebelum mangsa tercampak ke dalam laut.

Fatimah berkata, dia menerima berita malang itu daripada anak saudaranya yang menghubunginya kira-kira jam 9.30 malam sebelum bergegas ke Jeti LKIM ditemani beberapa anaknya.

“Arwah menunjukkan sikap pelik sejak kebelakangan ini, terutama sehari sebelum itu apabila dia meminta saya berehat dan tidak memasak makanan tengah hari, sebaliknya meminta adiknya membeli nasi bungkus untuk kami makan beramai-ramai,” katanya ketika ditemui di Jeti LKIM di sini, malam kelmarin.
Foto
TIGA nelayan yang selamat (dari kanan) Aidilhim, Bahyuddin serta Mohd Shamri menceritakan kejadian kepada pegawai bomba.
Katanya, ketika menikmati makan tengah hari itu, anaknya hanya makan beberapa suap nasi dan dia menyangka anaknya tidak berselera walaupun tidak pernah pernah berbuat demikian sebelum ini.

“Pada petang itu, Muhammad meminta saya berdoa agar dia dimurahkan rezeki dan mendapat hasil tangkapan yang banyak.
“Muhammad meminta doa saya dimakbulkan kerana dengan hasil jualan ikan yang banyak itu dia akan membahagikan wang itu kepada semua anak saudaranya,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

No comments:

Post a Comment