Search This Blog

Friday, January 3, 2014

Ibu, anak maut ditikam gunting, pisau


JOHOR BAHRU 2 Jan. - Dua beranak ditemui mati berlumuran darah dengan kesan tikaman di bahagian badan di dalam sebuah bilik tidur di rumah mereka di Jalan Skudai, di sini awal pagi tadi.
Mayat kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai A. Patmavathy, 63, (ibu) dan anak lelakinya, S. Suba, 40, ditemui kira-kira pukul 1 pagi oleh ahli keluarga mereka selepas panggilan telefon yang dibuat tidak berjawab.
Anak sulung Patmavathy, S. Raja, 48, berkata, dia beberapa kali cuba menghubungi ibunya sejak Selasa lalu namun panggilannya tidak dijawab.
"Risau dengan situasi berkenaan, saya bergegas ke kediaman ibu dan adik. Setibanya di sana, saya dapati pintu rumah tidak berkunci dan sebaik sahaja masuk saya terkejut melihat keadaan rumah yang berselerak dengan kesan darah di bahagian ruang tamu.
"Hati saya jadi semakin tidak sedap. Lalu saya mencari mereka di dalam bilik dan nampak mereka terbaring berlumuran darah di sana," katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.
Menurut Raja, selain ibu dan adiknya, rumah kondominium itu turut dihuni dua lelaki warga asing yang merupakan pekerja kepada adiknya, namun sehingga kini, kedua-duanya hilang tanpa dikesan.
Sementara Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim yang mengesahkan kejadian berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut dan turut mengesan dua lelaki warga asing berusia dalam lingkungan 30-an bagi membantu siasatan.
Ujarnya, polis turut menjumpai sebilah gunting dan pisau yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa selain terdapat kesan pergelutan di rumah itu.
Ismail berkata, mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140103/je_01/Ibu-anak-maut-ditikam-gunting-pisau#ixzz2pHpnP48E
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment