Search This Blog

Friday, January 24, 2014

Hilang RM6,000 dijerat ‘pelabur’ Afrika


Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
Kuala Lumpur: Niat mencari ejen pelaburan dalam kalangan lelaki ‘Awang Hitam’ membawa padah buat seorang pesara dan anak buahnya yang juga seorang pegawai polis apabila mereka disamun tiga lelaki warga Afrika ketika urus niaga dijalankan di sebuah hotel di Jalan Galloway, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.10 malam itu, kedua-dua mangsa berusia 63 dan 30 tahun itu kerugian RM6,000 selain suspek melarikan beberapa harta milik kerajaan yang berada dalam simpanan pegawai polis terbabit.

Sumber polis berkata, sebelum kejadian, kedua-dua mangsa pada mulanya mengatur pertemuan dengan seorang lelaki warga Afrika, namun lelaki itu sebenarnya sudah merancang untuk menyamun mangsa apabila meminta dua lagi rakannya datang ke hotel berkenaan.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa menunggu di lobi sebelum ke bilik hotel untuk berbincang sebaik lelaki warga Afrika terbabit muncul.

“Namun, kira-kira 10 minit berada di bilik, pintu bilik dibuka dua lelaki yang difahamkan rakan senegara lelaki Afrika berkenaan yang meluru masuk dan seorang daripada mereka memegang pisau.



“Kedua-dua mangsa diheret sebelum kedua-dua tangan dan kaki mereka diikat.

Mulut mereka turut dilekat dengan pita pelekat sebelum semua suspek menggeledah bilik berkenaan dan melarikan barang berharga milik mangsa,” katanya.

Katanya, antara barangan yang dilarikan adalah wang tunai berjumlah RM1,000, dua telefon bimbit, jam tangan, komputer riba, peralatan komputer dan cakera keras serta cakera padat milik kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

No comments:

Post a Comment