Search This Blog

Thursday, January 16, 2014

Hati tak tenang selagi mereka belum dihukum’


KUANTAN 15 Jan. - Balu Allahyarham Koperal Abd. Halim Md. Ali berharap penjenayah yang menembak mati suaminya dapat diberkas dengan segera dan menerima hukuman setimpal.
Asmah Laily Jusoh, 50, berkata, jiwanya tidak akan tenang selagi memikirkan kes yang menyebabkan empat anaknya hilang tempat bergantung, belum selesai.
“Setiap malam tidur saya tidak pernah lena kerana memikirkan bila kes ini akan selesai. Saya reda dengan apa yang berlaku tetapi amat berharap penjenayah terlibat dibawa ke muka pengadilan.
“Harapan saya semoga kes ini dapat diselesaikan dengan cepat dan mereka yang bertanggungjawab menerima hukuman yang setimpal," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Bantuan Kepada Mangsa Banjir dan Balu Anggota serta Pegawai Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini hari ini.
Penyampaian sumbangan kepada 135 pegawai dan anggota mangsa banjir serta enam balu itu disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusof.
Pada 6 Januari lalu, Abd. Halim, 48, yang hilang ketika menyertai operasi cegah jenayah pada hari sebelumnya, ditemui mati dengan kesan tembakan di bahagian mata dan dada di Ladang Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP) Padang Jaya, Jaya Gading.
Berikutan itu, dua lelaki berusia 19 dan 33 tahun ditahan reman selama seminggu bermula kelmarin sehingga Ahad ini.
Menurut Asmah Laily, kehilangan suami yang dinikahi sejak 25 tahun itu amat meruntun jiwanya, namun dia perlu tabah agar anak-anak juga kuat untuk menghadapi dan meneruskan kehidupan.
“Saya cuba tidak menangis di hadapan anak-anak terutama dua anak perempuan yang masih bersekolah di tingkatan lima dan dua.
“Saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk anak-anak dan saya amat berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana begitu prihatin dan sentiasa menjaga kebajikan saya dan anak-anak," jelasnya.
Sementara itu, menurut Mohd. Jasmani, seorang lagi lelaki ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan Allahyarham Abd. Halim.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140116/je_04/Hati-tak-tenang-selagi-mereka-belum-dihukum#ixzz2qXMR7pxL
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment