Search This Blog

Wednesday, January 15, 2014

Geram, dendam pemain catur


Dublin: Seorang lelaki Itali semalam mengaku membunuh tuan rumah sewanya hanya gara-gara berselisih faham dalam permainan catur.

Tidak cukup dengan itu, Saverio Bellante turut mengaku memamah jantung mangsa.
Sumber polis Ireland berkata, mangsa dikenali sebagai Tom O’Gormon dan pernah bekerja sebagai wartawan akhbar The Voice Today.




Menurut sumber itu, siasatan mendapati jantung mangsa masih ada dalam badannya.
“Sebaliknya satu daripada paru-paru O’Gormon hilang,” katanya.


Bellante, 34, adalah pekerja sebuah syarikat farmaseutikal di Ireland dan menyewa bilik di rumah O’Gormon sejak beberapa bulan lalu.


Malam sabtu lalu mereka bermain catur tetapi kemudian berselisih faham kerana O’Gormon didakwa cuba menipu Bellante.

Akibat pertengkaran O’Gormon menghalau suspek menyebabkan dia naik darah dan menyerang mangsa.

Dalam prosiding di mahkamah, semalam, Bellante mengaku salah tetapi enggan melantik peguam bagi membela dirinya.

Sebaliknya Bellante berkata dia mahu membela dirinya sendiri.

Mahkamah memerintahkannya ditahan reman tanpa dibenarkan jaminan selain menjalani pemeriksaan psikiatrik.

Mayat O’Gormon ditemui di rumahnya Ahad lalu dalam keadaan mengerikan dengan puluhan kesan tikaman di kepala dan dadanya.

Menurut sumber, pembunuhan itu dianggap paling kejam terhadap seseorang yang tidak bersalah dalam sejarah Ireland.

Malah, katanya, keadaan di tempat kejadian terlalu mengejutkan sehingga dua pegawai polis yang menemui mayat mangsa terpaksa menjalani kaunseling kerana terlalu trauma.

Sementara itu, rakan Bellante yang dihubungi terkejut kerana perbuatan didakwa dilakukannya terlalu berbeza daripada personalitinya yang sebenar.

Vincenzo Lo Nardo yang mengenali Bellante sejak kecil berkata lelaki terbabit bukan seorang yang bersifat ganas walaupun mereka membesar di kejiranan yang mencabar.

Seorang lagi rakan, Lo Nardo berpendapat Bellante dipengaruhi dadah ketika kejadian walaupun dia bukan seorang penagih.

“Itu saja kemungkinan yang dapat menjelaskan bagaimana dia boleh hilang akal sebegitu,” katanya.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/15

No comments:

Post a Comment