Search This Blog

Friday, January 24, 2014

Gempur along di lokasi panas

Oleh Ainul Fatihah Mansor
Sepang: Polis terus menggiatkan ‘Op Vulture’ bagi membanteras kegiatan ceti haram atau along di beberapa lokasi panas termasuk sekitar Putra Perdana, dekat sini memandangkan lokasi berkenaan sering menjadi tumpuan along menjerat mangsa.
Pegawai Perisikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang Inspektor Mohd Shahrizal Azhari berkata, operasi dilaksanakan berterusan setiap bulan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).
“Menerusi Op Vulture, kami melakukan operasi, rondaan dan pemantauan di beberapa kawasan panas yang dikenal pasti bagi membanteras kegiatan menampal poster iklan pinjaman wang tanpa lesen haram.
“Mengikut rekod kami, sejak awal Januari hingga sekarang, 863 poster iklan along dan haram diturunkan menerusi Op Vulture, termasuk 130 poster hari ini (semalam),” katanya pada sidang media selepas operasi membanteras dan menurunkan poster along di sekitar Putra Perdana di sini, semalam.
Turut hadir, Pengarah Penguatkuasa MPSepang Mohd Azran Musa.
Operasi dua jam itu disertai dua pegawai dan enam anggota polis serta 16 penguat kuasa MPSepang.
Mohd Shahrizal berkata, kebiasaannya individu yang bertindak menampal poster iklan along menjalankan kegiatan itu waktu malam, malah mereka juga menggunakan tangga supaya dapat ditampal lebih tinggi.
Beliau berkata, semua pihak dinasihatkan tidak terbabit dalam kegiatan along termasuk menampal iklan kerana tindakan itu boleh dikenakan denda tidak lebih RM20,000 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Mana-mana pihak terbabit dalam kegiatan along boleh diambil tindakan mengikut Seksyen (5) (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali.
“Sebagai tindakan susulan, setiap nombor dipaparkan pada iklan ditanggalkan dihantar ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk dibuat sekatan,” katanya.
Katanya, dari semasa ke semasa pihaknya akan turut memantau kawasan berkenaan serta mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang cuba menampal iklan ah long.
Foto
MOHD Shahrizal (dua dari kiri) bersama Mohd Azran (dua dari kanan) melihat poster along yang ditanggalkan di sekitar Putra Perdana, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

No comments:

Post a Comment