Search This Blog

Thursday, January 2, 2014

Enam lelaki disyaki pengganas mati ditembak


1 Januari 2014
JAKARTA - INDONESIA. Polis Indonesia menembak mati enam lelaki yang disyaki anggota kumpulan pengganas dan menahan seorang suspek dalam operasi di sebuah rumah di Ciputat, Tangerang Selatan, di luar ibu kota pada malam tahun baharu 2014, pada Selasa.
 
Operasi itu dijalankan oleh sekumpulan pegawai dari Unit khas anti pengganas yang dikenali sebagai Detasemen Khusus 88 setelah mereka mengepung rumah berkenaan yang dipercayai menjadi markas kumpulan militant itu.
 
Jurucakap polis Indonesia berkata pasukan polis terlibat dalam aksi berbalas tembak dengan kumpulan pengganas setelah arahan meminta suspek menyerahkan diri tidak dihiraukan oleh mereka.
 
"Mereka (pengganas) memulakan aksi tembakan dan menyebabkan polis kembali membalas tembakan itu. Operasi membanteras keganasan itu berlangsung 10 jam dan berakhir awal pagi ini," kata jurucakap itu.
 
Polis menyita sejumlah bom dan senjata api dari rumah itu dalam operasi berkenaan. Polis percaya kesemua pengganas yang ditembak mati itu terlibat dalam beberapa aktiviti keganasan sepanjang tahun 2013, termasuk penembakan pegawai polis.

Sementara itu lelaki suspek pengganas yang ditahan itu pula disyaki pengikut Abu Roban iaitu pengganas yang pernah mengetuai sebuah kumpulan pengajian agama di Tangerang, yang ditembak mati pada Mei tahun lepas.
 
Polis mendapat maklumat bahawa Abu Roban turut merangka rancangan keganasan yang akan dilancarkan pada pilihan raya umum 2014 di Indonesia.
 
Kumpulan Abu Roban dipercayai mempunyai anggota seramai 60 orang yang sentiasa bersedia menjadi pengebom berani mati.
 
"Mereka semua cukup terlatih dengan masing-masing mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing," kata Ketua Jabatan Perhubungan Awam Polis Indonesia Boy Rafli Amar.
 
Menjelang sambutan tahun baharu 2014 semalam, polis Indonesia meningkatkan kawalan keselamatan dengan mengerahkan 6,500 anggotanya berkawal di seluruh ibu kota Jakarta.
 
Indonesia pernah digemparkan dengan beberapa kejadian serangan pengganas sejak lebih sedekad lalu termasuk kejadian serangan bom di Bali pada tahun 2002, yang menyebabkan lebih 200 orang terbunuh, kebanyakan daripada mereka adalah pelancong asing. - Bernama

No comments:

Post a Comment