Search This Blog

Sunday, January 26, 2014

Dua lelaki ‘dikerjakan’ penduduk


Kuala Terengganu: Hasrat dua lelaki membelanjakan ‘hasil’ ragut yang diperoleh daripada seorang warga emas tidak kesampaian apabila dicekup penduduk Kampung Beladau Pulau, di sini, kelmarin.

Tidak cukup dengan itu, dua lelaki terbabit ‘dikerjakan’ penduduk yang mengikat mereka pada pokok untuk tatapan penduduk yang sudah lama berang dengan jenayah ragut yang berleluasa di situ.


Mangsa Sepinah Ismail, 61, dari Kampung Beladau Selat berkata, dalam kejadian jam 2.30 petang, dia bersama cucunya Nur Ain Hidayah Abdullah, 7, menaiki sebuah Honda Cup untuk ke kenduri kahwin di Kampung Beladau Pulau.



Menurutnya, dalam perjalanan, dia tidak menyedari dua lelaki berusia 20-an yang menunggang Honda EX5 mengekori sebelum menghampiri dan menghimpit motosikalnya serta mencapai tas tangan dalam raga motosikal. “Motosikal hilang kawalan dan saya serta cucu terus tersembam atas jalan sebaik lelaki menghimpit motosikal kami.


“Sebaik mencapai beg tangan, dua lelaki berkenaan terus melarikan diri ke dan saya pening kerana muka dan dagu terhentak kuat pada jalan.


“Ketika itu, saya hanya memikirkan keadaan cucu yang luka di tangan dan badan sebelum kami dibantu penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.

Sementara itu anak mangsa Mohd Damhuri Abdullah, 38, berkata, tindakan dua lelaki melarikan diri ke jalan mati di Kampung Beladau Pulau membawa padah apabila dikepung penduduk yang melihat kejadian.


Penjual ikan itu berkata, penduduk berjaya menangkap seorang suspek manakala seorang lagi ditangkap ketika bersembunyi dalam semak di kampung itu, sejam kemudian.

Katanya, ketika kejadian, dia berada di Kampung Laut untuk menghantar ikan dan bergegas pulang sebaik dimaklumkan kejadian itu oleh seorang ahli keluarganya.


“Sebaik sampai, saya lihat dua peragut berkenaan diikat pada pokok dan penduduk menghubungi pihak berkuasa untuk membawa mereka ke balai untuk siasatan lanjut.


“Ibu dan anak saudara saya dibawa ke HSNZ untuk rawatan lanjut dan doktor terpaksa merawat bahagian mata kanan serta menjahit 10 jahitan di bawah dagu ibu.


“Saya lega kedua-dua penjenayah berjaya ditahan penduduk yang selama ini berang dengan kegiatan ragut yang kerap dilaporkan berlaku di kampung ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

No comments:

Post a Comment