Search This Blog

Friday, January 3, 2014

Dua beranak ditemui mati dibunuh

Dua beranak ditemui  mati dibunuhPatmavathy dan Suba dibunuh dalam bilik di sebuah kondominium di Tampoi. 


Johor Bahru: Seorang lelaki yang pergi ke rumah ibunya selepas gagal menghubungi melalui telefon, menemui mayat seorang wanita bersama adik lelakinya, dipercayai mangsa bunuh dalam bilik kondominium mereka di Tampoi di sini, semalam.

Mayat dua beranak itu ditemui kira-kira jam 1 pagi berlumuran dengan kesan tikaman di beberapa anggota badan dalam sebuah bilik kondominium berkenaan.

A T S Patmavathy, 64, dan anaknya, S Suba, 40, yang bekerja sebagai pembekal pekerja asing, dipercayai dibunuh dalam tempoh 24 jam sebelum mayat mereka ditemui S Raja, 48.


Mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

Raja, yang tinggal di Desa Cemerlang, dekat sini, berkata selepas beberapa kali gagal menghubungi ibunya sejak kelmarin, dia membuat keputusan pergi ke kediaman wanita itu.

“Selepas beberapa kali panggilan telefon tidak dijawab, saya mula bimbang dengan keselamatan ibu dan adik, lalu pergi ke rumah mereka dan mendapati pintu rumah tidak berkunci.

Kesan darah

“Saya masuk ke dalam rumah dan terkejut apabila melihat keadaan rumah berselerak, selain kesan darah di ruang tamu sebelum ternampak mayat ibu dan adik dalam keadaan terbaring berlumuran darah dalam sebuah bilik,” katanya.

Raja berkata, dua lelaki warga asing yang tinggal bersama ibu dan adiknya di kondominium berkenaan turut menghilangkan diri.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim, berkata siasatan awal mendapati dua pekerja asing berusia 30-an tinggal bersama dua beranak itu.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua warga asing itu menghilangkan diri dan usaha sedang dilakukan untuk mengesan mereka bagi membantu siasatan.

Kes itu diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment