Search This Blog

Wednesday, January 8, 2014

Dera anak angkat dihukum gantung


ABDUL Aziz Abdullah dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Johor, semalam. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
JOHOR BAHRU 7 Jan. - Seorang pemungut barangan lusuh dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah mendera anak angkatnya sehingga mati dua tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Aziz Abdullah, 44, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Abdul Aziz didakwa membunuh Nur Jalilah Abdullah, 12, di Blok 12, Jalan Desa Mutiara 7, Taman Desa Mutiara di sini, kira-kira pukul 1 petang, 25 April 2012.
Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Halim berkata, tindakan tertuduh terhadap anak angkatnya itu yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan.
"Ia amat menyedihkan, kehidupan adik beradik dan arwah (Nur Jalilah) sangat perit dan terseksa. Tindakan kamu terhadap arwah adalah sangat kejam.
"Justeru itu, mahkamah mendapati kamu bersalah dan menjatuhkan hukuman mati terhadap kamu mengikut peruntukan undang-undang Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu gantung di leher sampai mati,'' kata beliau.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa Kunyalam manakala tertuduh diwakili peguam, Sukaimi Maskot.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140108/ma_03/Dera-anak-angkat-dihukum-gantung#ixzz2pnH7deAo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment