Search This Blog

Thursday, January 16, 2014

Bunuh: 3 lelaki ditahan


KUALA TERENGGANU 15 Jan. - Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan wanita warga emas yang ditemui mati dengan lehernya dijerut getah paip dalam kejadian samun di Kampung Baru Sungai Kerak, Marang dekat sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner, K. Manoharan berkata, kesemua suspek yang merupakan buruh binaan di kawasan berdekatan rumah mangsa ditahan pada pukul 4.30 petang semalam.
"Polis menahan dua lelaki berusia antara 25 dan 35 tahun yang merupakan buruh binaan kedua-duanya sedang bekerja di kawasan sebelah belakang berhampiran rumah mangsa.
"Seorang lagi lelaki yang berasal dari Kampung Pengkalan Berangan, ditahan pada pukul 3 pagi selepas kita menemui pakaian yang dipercayai milik suspek yang telah dibuang di tempat sampah di tandas surau berdekatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang itu, Tengku Enong Tengku Muda, 68, yang tinggal berseorangan sejak tujuh tahun lalu ditemui mati tertiarap di dalam tandas rumahnya dipercayai disamun sebelum dibunuh.
Beberapa barangan milik mangsa yang lumpuh sebelah kakinya itu termasuk rantai leher, gelang tangan dan seunit telefon bimbit didapati hilang.
Manoharan memberitahu, hasil pemeriksaan mendapati suspek ketiga yang berusia 35 tahun itu adalah positif dadah jenis heroin.
"Punca kematian adalah lemas akibat dijerut dan kita percaya mangsa mati antara 12 jam dan 36 jam sebelum ditemui.
"Berdasarkan tali kasut yang dijumpai di leher mangsa, kita juga percaya mangsa dijerut dengan tali kasut terlebih dahulu sebelum suspek bertindak menggunakan paip getah," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140116/je_06/Bunuh-3-lelaki-ditahan#ixzz2qXLfJleh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment