Search This Blog

Friday, January 24, 2014

Berniaga atas nama si mati

Oleh Yusmawati Mhd Yusof
Melaka: Satu sindiket gores dan menang di negeri ini dikesan menggunakan taktik menjalankan operasi menerusi perniagaan yang pemiliknya sudah pun meninggal dunia.
Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Muhabir Ibrahim berkata, taktik berkenaan dilakukan sindiket dipercayai bagi mengelak daripada diambil tindakan oleh pihak berkuasa. 
Menurutnya, taktik berkenaan dikesan hasil serbuan dijalankan pihaknya ke atas sebuah syarikat gores dan menang yang beroperasi di Taman 1 Lagenda, di sini, 13 Januari lalu.

“Hasil semakan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) syarikat berkenaan adalah milikan tunggal yang didaftarkan atas nama seorang lelaki berusia 39 tahun pada 9 Disember 2013, namun hasil semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati individu berkenaan meninggal dunia pada 22 Disember tahun sama.
Foto
MUHABIR menunjukkan pengesahan kematian pemilik perniagaan.

“Si mati dipercayai dipergunakan untuk mendaftarkan perniagaan itu, disebabkan ia milikan tunggal sukar untuk kami mengambil tindakan kerana pemiliknya sudah meninggal dunia,” katanya pada sidang media di PPDNKK, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Keperasi negeri Datuk Wira Latiff Tamby Chik.

Menurutnya, bagaimanapun SSM yang turut menyertai serbuan itu akan mengambil tindakan mengikut Akta Syarikat 1965 ke atas mereka yang bertanggungjawab menjalankan perniagaan gores dan menang berkenaan.

“Malah, PPDNKK juga akan meminta bantuan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) untuk memotong bekalan elektrik dan air di premis berkenaan sekiranya boleh.

“Hasil serbuan, selain barangan bernilai hampir RM20,000 termasuk tilam jed dan mesin pengurut kaki disita, seorang lelaki berusia 20-an dipercayai pekerja syarikat itu turut ditahan untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan,” katanya.


Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

No comments:

Post a Comment