Search This Blog

Friday, January 24, 2014

Bapa, anak maut kemalangan



Kereta Perodua Kelisa yang dipandu mangsa remuk selepas melanggar bangkai seekor lembu dan merempuh sebuah kenderaan dari arah bertentangan di Kilometer 86.4 Jalan Ipoh -Kuala Lumpur di Tapah, Perak, semalam.
TAPAH 22 Jan. - Dua beranak terkorban selepas kereta jenis Perodua Kelisa yang dinaiki mereka melanggar bangkai seekor lembu sebelum terbabas dan merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna Naza Citra di Kilometer 86.4 Jalan Ipoh -Kuala Lumpur, di sini pagi ini.
Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Kamaruzzaman Bokhari, 51, yang merupakan guru Penolong Kanan Kokurikulum di Sekolah Menengah Kebangsaan Trolak dan anaknya, Muhammad Hariz Zakwan, 15, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Kemalangan itu turut mengakibatkan dua kenderaan lain iaitu Perodua Myvi dan Toyota Avanza yang mengekori kereta Naza Citra turut terbabit dalam nahas itu.
Bagaimanapun, kesemua pemandu kenderaan terbabit hanya cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Tapah, Supritendan Som Sak Din Keliaw berkata, ketika kejadian, kenderaan dipandu Kamaruzzaman yang dalam perjalanan ke sekolah tempatnya mengajar gagal dikawal selepas merempuh bangkai seekor lembu.
Rempuhan itu, katanya, menyebabkan kenderaan tersebut masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh kereta Naza Citra yang dipandu seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Klah.
"Akibat rempuhan tersebut, Kamaruzzaman tersepit di tempat duduk pemandu manakala Muhammad Hariz Zakwan pula sebahagian badannya terkeluar dari kenderaan tersebut.
"Dalam kejadian itu, kereta Perodua Myvi dari arah Ipoh yang ternampak kemalangan itu memberhentikan kenderaannya secara mengejut sebelum dirempuh kereta Toyota Avanza dari arah belakang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Som Sak berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.
Katanya, polis sedang menyiasat punca kemalangan itu dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, menantu Kamaruzzaman, Ahmad Taufiq Baharuddin, 22, ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tapah memberitahu, dia mengetahui mengenai kejadian yang menimpa bapa mertua dan adik iparnya itu pada pukul 7 pagi.
"Sebaik sahaja mengetahui mengenai kejadian malang itu, kami sekeluarga bergegas ke tempat kejadian. Pada waktu itu, kami hanya fikirkan kemalangan biasa dan mereka hanya cedera parah.
"Apabila tiba di tempat kejadian, kami lihat kereta remuk dan sangat terkejut apabila mengetahui ayah dan adik terkorban dalam kemalangan itu," katanya.
Ahmad Taufiq memberitahu, jenazah dua beranak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungkai.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140123/je_08/Bapa-anak-maut-kemalangan#ixzz2rGhxXEfN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment