Search This Blog

Friday, January 24, 2014

Babi meluru nyawa melayang

Dungun: “Saya lihat babi besar itu melintas secara tiba-tiba dan merempuh motosikal mangsa,” kata Awang Mohamad, 50, menceritakan detik cemas seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Durian Mentangau, FELDA Kerteh 2, di sini, pagi semalam.
Kemalangan jam 8.30 pagi itu mengorbankan Roslan Mustaffa, 32, yang berasal dari Kampung Durian Mentangau, di sini.
Ketika kejadian, mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak dalam perjalanan ke tempat kerjanya di kilang simen di Paka, di sini, sebelum terbabit dalam kemalangan itu.
Awang berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke Hospital Dungun untuk berjumpa dengan pakar jantung dan mengekori motosikal mangsa.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, saya ternampak babi itu melintas laju dan merempuh bahagian depan.
Mangsa yang gagal membrek dan mengelak haiwan berkenaan tercampak ke atas jalan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Katanya, dia membantu mangsa yang ketika itu parah di kepala dan beberapa penduduk di situ sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah, namun mangsa akhirnya meninggal dunia di tempat kejadian.
“Saya tidak menyangka babi besar yang merempuh motosikal mangsa menyebabkan mangsa terkorban dan haiwan berkenaan pula terus melarikan diri ke semak berhampiran,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan berkenaan.
Katanya, mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.
Foto
ORANG ramai membantu mengangkat mayat mangsa.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

No comments:

Post a Comment