Search This Blog

Sunday, January 26, 2014

Anak jadi pendiam sebelum lemas bersama rakan


Machang: “Kali terakhir makcik menghubunginya sehari sebelum kejadian, dia memesan makanan seperti biskut dan kami sekeluarga sepatutnya ke asramanya untuk menghantar makanan itu hari ini (semalam) tetapi tidak sempat,” kata Naimah Saad, 55, selepas anaknya Ahmad Izzat Zakaria, 19, ditemui lemas bersama rakan karib Wan Khairul Ariffin Abdullah,19 dalam kejadian di Jeram Linang, Machang, petang kelmarin.

Kedua-dua mangsa adalah pelajar tahun pertama jurusan perbankan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Machang.


Sebelum kejadian kira-kira 6.40 petang itu berlaku, kedua-dua mangsa dikatakan mengunjungi kawasan perkelahan itu bersama lima lagi rakan sekampus mereka untuk bermandi-manda.



Menurut Naimah, dia sebenarnya tidak tahu anak kedua daripada empat beradik itu mengunjungi ke tempat terbabit kerana jika tidak dia pasti akan melarangnya kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.


Katanya, arwah sempat pulang ke rumah pada Rabu lalu tetapi cuma seketika untuk mengambil barang saja sebelum beredar ke asrama menaiki kereta bersama rakannya.


“Sejak dia mengikuti pengajian, makcik tidak pernah lupa menghubunginya setiap hari untuk bertanya khabar tetapi tidak sempat berbuat demikian pada pagi sebelum kejadian.

“Rabu lalu dia cuma pulang sekejap saja dan terus beredar. Bagaimanapun, pagi sebelum kejadian juga makcik sempat melihat gambarnya yang dimasukkan di laman facebook sebelum menerima berita buruk apabila dihubungi polis pada jam 8.30 malam,” katanya.


Manakala nenek kepada Wan Khairul Ariffin, 64, berkata, kali terakhir dia bertemu cucunya adalah pada Selasa lalu namun arwah dilihat lebih pendiam.

“Arwah nampak lebih pendiam, selain rakannya memberitahu dia berkelakuan pelik apabila meminta maaf daripada semua kenalan,” katanya.


Jenazah Ahmat Izzat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Banggol manakala jenazah rakannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Durian Rendang, Ketereh.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang Zulkifli Osman berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.55 petang sebelum kedua-dua mangsa berjaya ditemui jam 8.36 malam kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/26

No comments:

Post a Comment