Search This Blog

Friday, January 24, 2014

Akhirnya dapat habuan

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Seremban: Seorang ahli sindiket gores dan menang pengsan manakala tiga lagi cedera di muka serta badan akibat dibelasah sekumpulan kira-kira 30 lelaki yang berang selepas mendakwa ditipu sindiket itu, ada yang mencecah puluhan ribu ringgit.
Kejadian berlaku di premis yang dijadikan pejabat sindiket berkenaan di Jalan Pusat Bandar Senawang 16, di sini, jam 5.40 petang kelmarin. 
Saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Azmi, 30-an berkata, dia melihat 30 lelaki terbabit menaiki motosikal dan kereta seolah-olah merusuh di hadapan premis pejabat sindiket syarikat gores dan menang itu.

“Saya difahamkan kumpulan 30 lelaki terbabit berang kerana ahli keluarga mereka kerugian belasan ribu hingga puluhan ribu ringgit seorang. Jadi mereka datang untuk meminta semula wang selepas menyedari ditipu.
Foto

“Apabila permintaan mereka tidak dipenuhi, saya lihat kumpulan lelaki terbabit menyerbu masuk ke dalam premis dan memukul empat pekerja gores dan menang itu manakala lapan lagi pekerja berjaya melarikan diri,” katanya.

Azmi yang bekerja di premis berhampiran pejabat sindiket gores dan menang itu berkata, keadaan begitu kelam-kabut apabila kumpulan lelaki yang merusuh itu bertindak mengejar ahli sindiket yang cuba melarikan diri.

“Empat ahli sindiket itu juga cuba lari, tapi gagal. Akibatnya mereka dibelasah teruk sehingga seorang pengsan manakala tiga lagi saya lihat lebam di muka mereka,” katanya.

Jurucakap polis pula berkata, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan sebelum mendapati empat lelaki cedera dan akibat dipukul, seorang daripadanya pengsan.

Menurutnya, mereka yang cedera itu dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk rawatan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 146/ 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan melakukan kekerasan.

“Setakat ini polis menahan tiga lelaki yang disyaki terbabit dengan kejadian untuk disoal siasat,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/24

No comments:

Post a Comment