Search This Blog

Wednesday, January 8, 2014

60 kedai berusia 20 tahun hangus


Orang ramai melihat kesan kebakaran yang memusnahkan 60 unit kedai berusia kira-kira 20 tahun di Pekan Rantau Panjang, semalam. - UTUSAN/IRWAN MAJID
RANTAU PANJANG 7 Jan. - Sebanyak 60 unit kedai berusia kira-kira 20 tahun di Pekan Rantau Panjang berhampiran Kompleks Zon Bebas Cukai Rantau Panjang di sini, yang terkenal sebagai 'syurga membeli-belah' musnah dalam kebakaran malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa berikutan kesemua premis tidak beroperasi pada waktu malam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Abdul Jalil Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.30 malam dan jentera pertama tiba di lokasi dalam tempoh enam minit.
Katanya, sebanyak 33 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Pasir Mas dan Pengkalan Kubor terlibat memadamkan kebakaran tersebut.
Kata Abdul Jalil, pihaknya yang turut dibantu anggota tentera berjaya mengawal keseluruhan kebakaran dalam tempoh lebih sejam.
"Dalam tempoh 20 minit kita berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah kediaman yang terletak di belakang dan kedai-kedai lain yang terletak berhampiran.
"Api dipadam sepenuhnya dalam tempoh 40 minit. Api merebak pantas kerana kesemua premis diperbuat daripada kayu manakala peniaga pula menjual pakaian dan selimut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini malam tadi.
Terdapat lebih 300 kedai menjual pelbagai jenis barangan di kompleks itu yang menjadi tumpuan pelancong pada cuti hujung minggu dan cuti sekolah.
Tambah Abdul Jalil, pihak bomba terpaksa mengunakan sumber air dari Sungai Rantau Panjang dan Sungai Golok bagi membantu masalah kekurangan air semasa mengawal kebakaran terbabit.
Katanya, punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati suasana sunyi di bandar ini bertukar riuh-rendah apabila ratusan orang terdiri daripada penduduk sekitar memenuhi kawasan terbabit bagi melihat kebakaran tersebut.
Kebakaran yang merebak dengan cepat itu mengakibatkan barangan perniagaan seperti pakaian dan peralatan musnah dalam sekelip mata.
Sementara itu, kesemua 60 peniaga yang terlibat bukan sahaja kerugian puluhan ribu ringgit malah dalam keadaan buntu kerana hilang sumber pendapatan.
Suhaida Shafie, 25, yang menjual pakaian dan selimut sejak 20 tahun lalu berkata, beliau kerugian lebih RM50,000.
"Sedih lihat hanya rangka kedai yang tinggal. Barangan lain seperti baju, kain dan selimut musnah.
"Perniagaan inilah satu-satunya sumber rezeki saya dan suami bagi membesarkan anak yang berusia dua tahun," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau dan suami mengetahui kebakaran itu setelah dimaklumkan oleh rakannya kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.
Seorang lagi peniaga, Shamsiah Muhamad, 30, berkata, api yang marak pantas menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan barangan perniagaannya iaitu selimut.
"Saya rugi kira-kira RM20,000. Saya juga buntu tentang masa depan kerana perniagaan ini satu-satu sumber pendapatan keluarga," katanya yang sudah 15 tahun berniaga di situ.
Muhamad Hafiz Anuar, 27, pula bersyukur kedainya yang terletak kira-kira 20 meter daripada lokasi kejadian terselamat daripada kebakaran.
"Mujurlah bomba sempat kawal kebakaran daripada merebak. Namun, saya tetap sedih memikirkan kedai ibu musnah terbakar," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140108/dn_09/60-kedai-berusia-20-tahun-hangus#ixzz2pnFo8C1f
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment