Search This Blog

Sunday, January 19, 2014

5 pekerja kilang dihanyut ombak


2014/01/19
Balik Pulau: Percutian seramai 24 pekerja sebuah kilang di Pantai Kerachut, Teluk Bahang, di sini, berakhir tragedi apabila lima daripada mereka dipukul ombak.

Seorang daripada mangsa disahkan maut, dua hilang, manakala dua lagi diselamatkan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan.


Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang semalam, kumpulan pekerja kilang dari Butterworth itu dipercayai mengadakan perkhemahan di Taman Negara Pulau Pinang sebelum mandi beramai-ramai di pantai.

Tak sedar bendera merah

Bagaimanapun, mereka tidak menyedari kewujudan bendera merah di tepi pantai sebagai tanda amaran bahawa keadaan laut berbahaya dan berombak.

Akibatnya, lima daripada 24 mereka dihanyut ombak ke tengah laut dan lemas, namun dua daripadanya diselamatkan rakan.

Mangsa yang disahkan meninggal dunia adalah P Yogambigai, 24, manakala dua lagi mangsa masih belum ditemui ialah Ku Muhammad Ilyas Ku Abdul Halim, 19, dan Ashwan Baljit Singh, 24.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain, berkata polis menerima laporan berhubung insiden itu pada jam 4.20 petang.

“Ketika kejadian, lima daripada rakan mereka dihanyutkan ombak, namun dua daripadanya diselamatkan orang awam dan dibawa ke HPP untuk rawatan.

Seramai 30 anggota polis, bomba dan penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terbabit dalam operasi mencari mangsa yang hilang,” katanya di sini, semalam.

Operasi disambung hari ini

Tinjauan BH di Taman Negara Pulau Pinang mendapati kumpulan pekerja kilang berkenaan berkumpul dan dibawa keluar dari Pantai Kerachut, wartawan tidak dibenarkan mendekati mereka.

Operasi mencari dihentikan pada jam 7 malam dan akan disambung semula pada jam 7 pagi hari ini.

No comments:

Post a Comment