Search This Blog

Sunday, January 26, 2014

236 warga Indonesia berdepan hukuman mati


JAKARTA 25 Jan. - Kira-kira 236 rakyat Indonesia berdepan hukuman mati di negara asing, kebanyakan mereka atas kesalahan mengedar dadah, membunuh dan berzina, menurut laporan akhbar tempatan, hari ini.
Akhbar berbahasa Inggeris, Jakarta Post melaporkan kebanyakan rakyat Indonesia yang ditahan di Malaysia didakwa atas kesalahan berkaitan dadah, manakala di Arab Saudi, banyak kes membabitkan rakyat negara ini dibicarakan atas tuduhan membunuh, berzina dan menggunakan ilmu hitam.
Seorang pegawai Kementerian Luar yang enggan dikenali berkata, sesetengah rakyat Indonesia yang dibicarakan di Arab Saudi merupakan mangsa rogol tetapi mereka didakwa mempunyai hubungan dengan lelaki di negara itu, menyebabkan kelahiran kira-kira 7,000 anak luar nikah.
"Identiti bapa mereka tidak diketahui dan gejala ini sangat membimbangkan kerana isu ini melibatkan generasi muda negara ini," katanya.
Sumber itu berkata, kerajaan Indonesia sedang berusaha membawa pulang kanak-kanak itu dengan mengeluarkan dokumen sementara, namun perkara itu akan menimbulkan masalah pula pada masa depan ketika mereka memohon kad pengenalan dari negara asal, memandangkan kanak-kanak itu tidak memiliki sijil kelahiran, selain identiti bapa kandung yang tidak diketahui.
Pada masa sama, kerajaan Indonesia juga sedang berusaha menguruskan perkahwinan wanita-wanita yang menjadi mangsa rogol di Arab Saudi bagi membolehkan mereka memperolehi dokumen daripada kerajaan Arab Saudi untuk kembali ke tanah air.
Bagaimanapun, sebilangan besar wanita-wanita itu enggan berbuat demikian memandangkan mereka sudah bernikah dengan lelaki Indonesia sebelum bekerja di luar negara.
Sementara itu, Pengarah Perhubungan Undang-Undang dan Perlindungan (Rakyat Indonesia di Luar Negara) Kementerian Luar, Tatang Budie Utama Razak berkata, sejak 2011, pelbagai usaha diambil oleh kerajaan Indonesia sehingga ke peringkat Presiden telah berjaya membebaskan 165 rakyat Indonesia daripada pelbagai kesalahan di luar negara. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140126/lu_04/236-warga-Indonesia-berdepan-hukuman-mati#ixzz2rRwDdSMe
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment