Search This Blog

Sunday, January 12, 2014

100 rumah di ‘Shangri-La’ musnah dalam kebakaran


Beijing: Satu kebakaran awal semalam di pekan purba Tibet, wilayah Yunnan, di selatan China yang terkenal dalam kalangan pelancong memusnahkan lebih 100 kediaman.

Bagaimanapun, tiada laporan mengenai kemalangan jiwa dan punca kebakaran juga masih belum dapat dipastikan.


Kebakaran selama 10 jam itu berlaku kira-kira jam 1.27 pagi di pekan purba Dukezong, yang berusia lebih 1,000 tahun dan terkenal dengan jalan purbanya yang dipulihara, budaya dan struktur berunsur Tibet. Ia juga menjadi sebahagian pemandangan indah Shangri-La di wilayah Deqen. Daerah itu pernah digelar dengan Gyaitang Zong, tetapi ditukar namanya kepada Shangri-La pada 2001 dengan harapan akan menarik lebih ramai pelancong berikutan mitos tanah Himalaya yang pernah disebutkan dalam novel James Hilton pada 1933 itu.



Lebih 2,000 anggota bomba, tentera, polis, pihak berkuasa tempatan dan sukarelawan dilaporkan bekerjasama untuk memadamkan kebakaran itu. Api akhirnya dapat dipadamkan sekitar jam 11 pagi. Dianggarkan lebih 100 kediaman di Dukezong rentung kerana kebanyakan struktur diperbuat daripada kayu dan api merebak dengan cepat akibat cuaca kering, kata pihak berkuasa tempatan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/12

No comments:

Post a Comment