Oleh Zatul Iffah Zolkiply dan Khairul Hamizy Ramlee
Kuala Terengganu: “Saya tak sangka permintaan anak saudara tergesa-gesa meminta isteri dan dua anak segera bersiap membeli barang keperluan jamuan perjumpaan saudara-mara esok (hari ini) petanda dia meninggalkan kami.
“Paling memilukan nahas itu meragut nyawa isteri saya,” kata Yunus Ismail, 51.
Dia adalah suami kepada Hamidah Hamid, 42, dan bapa saudara Amin Mohamad, 31, yang maut dalam nahas meragut tiga nyawa di Kampung Sungai Ikan, Jalan Sungai Tong di Kilometer 29, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, dekat sini, semalam.
Dalam kemalangan jam 10 pagi itu, Amin dan Hamidah dari Permaisuri yang menaiki PERODUA Myvi serta pemandu PROTON Waja, Sajunairi Nafi, 31, dari Pasir Puteh, Ayer Lanas, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian.

KEADAAN kereta yang dipandu Amin.
 |
TOYOTA Vellfire yang terlibat rosak di bahagian hadapan. |
 |
KEADAAN kereta yang mengorbankan Sajunairi. |
Dua lagi penumpang PERODUA yang juga anak arwah Hamidah, Nurul Hidayu Mohd Nasir, 25, dan Nurul Hafizal Mohd Nasir, 20, dilaporkan parah dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.
Yunus berkata, sebelum kejadian, arwah Hamidah bersama Nurul Hidayu dan Nurul Hafizal menemani Amin menuju pusat bandar raya ini membeli barang keperluan untuk jamuan itu.
“Amin yang meminjam kereta PERODUA Myvi saya tidak sempat mengelak apabila sebuah PROTON Waja dari arah bertentangan tiba-tiba memasuki laluannya menyebabkan pertembungan kuat berlaku.
“Rempuhan kuat itu menyebabkan bahagian depan PERODUA Myvi saya remuk. Arwah isteri dan anak saudara saya tersepit manakala Nurul Hidayu dan Nurul Hafizal tercampak keluar,” katanya.
Yunus yang tinggal di Kampung Baru Pak Ba, Permaisuri, Setiu, berkata, dia tidak sempat menemani anak saudaranya itu kerana mempunyai urusan lain.
“Kejadian berlaku ketika saya berada di rumah dan terkejut selepas seorang anggota polis memaklumkan nahas itu. Sebaik tiba di lokasi, semua mangsa dibawa ke Unit Forensik dan Unit Kecemasan HSNZ dan saya cuma nampak tiga kenderaan remuk di lokasi kejadian.
“Saya lihat banyak darah dalam PERODUA Myvi dan ketika itu beberapa anggota polis cuba menenangkan saya dan memberitahu kejadian menimpa isteri, anak serta anak saudara.
“Masih terngiang-ngiang di telinga saya ayat anak saudara yang tergesa-gesa meminta isteri dan dua anak kami segera bersiap seperti tidak cukup masa lagi untuk membeli barang-barang itu.
“Arwah isteri pula hanya mengikut dan sempat meminta izin saya keluar dari rumah,” kata bapa kepada lima anak itu.
Sementara itu, seorang lagi ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, persiapan majlis perjumpaan itu kini bertukar kepada majlis tahlil dan pasti kepulangan saudara-mara yang lain ketika cuti Tahun Baru Cina mengundang rasa pilu.
Menurutnya, dia sempat melihat anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dari kenderaan masing-masing.
“Saya sempat tengok tulang kaki mangsa masih berada di dalam kenderaan itu dan anggota bomba terpaksa memotong bahagian sisi kereta mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.