PETALING JAYA 12 Dis. - Seorang lelaki yang telah dibuang daerah ke Pulau Pinang setelah terlibat dalam tiga kes samun di ibu negara, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan merogol seorang pelajar tingkatan satu, bulan lalu.
Jaidi Jamil, 29, yang bekerja sebagai pembantu restoran mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang berusia 13 tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik 207, Hotel Cottage Inn, No. 8, Jalan USJ 9/5T, Subang Business Centre, Subang Jaya, di sini antara pukul 10.04 malam, 29 November lalu dan 4.42 pagi keesokan harinya.
Lelaki itu yang diwakili peguam Muhamad Asri Abdul Hamid didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Dyiwa Syazwani Izyan Mohd. Akhir yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh tetapi beliau menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk memutuskannya.
Hakim Yasmin Abdul Razak membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tidak boleh menganggu saksi pendakwaan dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Mahkamah menetapkan 23 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20131213/ma_02/Lelaki-dibuang-daerah-didakwa-rogol-pelajar#ixzz2njP1gzhZ
© Utusan Melayu (M) Bhd