
LAUTAN banjir yang teruk melanda Kampung Belukar, Kuantan, Pahang, semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI
KUALA LUMPUR 4 Dis. - Situasi banjir bertambah buruk apabila seramai 33,765 orang mangsa dari empat buah negeri iaitu Pahang, Johor, Terengganu dan Kelantan dipindahkan sehingga malam ini berbanding hanya 16,837 orang di tiga negeri semalam.
Di PAHANG, beberapa laluan utama memasuki bandar Kuantan terputus hubungan akibat air pasang besar kira-kira pukul 10 malam tadi.
Seorang pemuda di Jerantut pula menjadi korban kedua setelah mati lemas apabila terjatuh semasa sedang menjaring ikan di sebatang sungai di Kampung Sepial, Kuala Tembeling, awal pagi ini.
Bilangan mangsa banjir di negeri ini meningkat daripada 9,030 orang kepada 19,750 orang hari ini yang membabitkan lima daerah.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati terdapat beberapa lokasi ditenggelami air antaranya kawasan perumahan di Tanah Putih, Permatang Badak dan seluruh kawasan Sungai Isap.
Lebih 5,000 penduduk di lima buah kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Inderapura iaitu Kampung Kurnia, Belukar, Razali, Perumahan Murah Batu 3 dan Taman Guru juga dipindahkan setelah rumah mereka ditenggelami air pada paras pinggang.
Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang berkata, sebanyak 98 pusat pemindahan banjir telah dibuka dan daripada jumlah itu, Kuantan mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 12,007 orang daripada 2,959 keluarga dan ditempatkan di 69 pusat pemindahan.
"Di Rompin, sebanyak 3,982 mangsa daripada 1,048 keluarga ditempatkan di 13 pusat pemindahan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Di Pekan, sebanyak 2,750 mangsa daripada 554 keluarga dipindahkan di sembilan pusat pemindahan sementara di daerah Maran, sebanyak 1,005 mangsa daripada 235 keluarga ditempatkan di tujuh pusat pemindahan dan di Jerantut hanya satu pusat pemindahan dibuka membabitkan enam mangsa.
Di JOHOR, mangsa banjir meningkat ke 8,402 orang melibatkan 2,281 buah keluarga sehingga malam ini dengan Mersing mencatat kedudukan teratas 5,711 mangsa, Segamat (1,064); Kluang (1,005); Muar (217); Kota Tinggi (223), Batu Pahat (175) dan Ledang (7).
Sebanyak 57 pusat pemindahan dibuka termasuk Mersing (21), Segamat (18), Kluang (11), Kota Tinggi dan Batu Pahat (3) serta Muar (1).
Di TERENGGANU, banjir yang masuk hari ketiga menyebabkan seramai 5,115 orang mangsa daripada 1,322 keluarga dipindahkan ke 64 pusat pemindahan di tiga daerah.
Kemaman berdepan situasi terburuk apabila ramai penduduk berpindah pada saat-saat akhir berikutan keadaan di luar jangkaan.
Beribu-ribu penduduk pula terputus bekalan elektrik dan air kerana pencawang dan loji air tidak dapat beroperasi.
Laluan penghubung ke Kuantan dan Kuala Lumpur turut terputus menyebabkan ramai pengguna jalan raya terkandas dalam perjalanan.
Sehingga pukul 8 malam, Kemaman mencatatkan jumlah mangsa paling ramai dipindahkan iaitu 2,961 orang melibatkan 729 keluarga yang ditempatkan di 36 pusat pemindahan.
Banjir turut merebak ke beberapa kawasan di daerah Hulu Terengganu apabila seramai 1,106 mangsa daripada 324 keluarga kini ditempatkan di 17 pusat penempatan.
Beberapa jalan utama di daerah Kemaman ditenggelami air kira-kira 0.3 meter antaranya Jalan Bukit Mentok, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Jalan Mak Lagam-Ceneh, Jalan Mak Lagam-Ceneh dan Jalan Jerangau-Jabor.
Ekoran itu, pengguna jalan yang ingin menghala ke Kuantan dan Kuala Lumpur terputus hubungan sama ada melalui jalan alternatif Jerangau-Jabor mahu pun jalan pantai kerana jalan berhampiran Akademi Maritim (bypass Sungai Ular) dan berhampiran Cherating turut ditenggelami air.
Di Dungun, mangsa banjir meningkat kepada 1,035 orang melibatkan 269 keluarga di 11 pusat pemindahan antaranya di Balai Raya Kampung Pasir Raja, Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Jengai, Surau Besol Lama dan Sekolah Kebangsaan Balai Besar.
Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu menafikan khabar angin kononnya Empangan Kenyir tidak lagi mampu menampung takungan dan akan melepaskan air secara berperingkat-peringkat bagi mengelakkannya pecah.
Di KELANTAN, sebanyak 100 buah keluarga di Kuala Krai dipindahkan ekoran hujan lebat yang berlarutan sejak tiga hari lalu.
Portal rasmi banjir Kelantan di ebanjir.kelantan.gov.my memaklumkan sebanyak 498 mangsa banjir dipindahkan ke lima pusat pemindahan yang mula beroperasi sejak awal pagi ini.
Beberapa buah penempatan yang ditenggelami air di jajahan ini adalah di Pekan Guchil, Kusial, Kampung Bedal, Bukit Sireh dan Kampung Nal.
Menurut portal terbabit, tiga batang jalan turut ditutup kepada kenderaan ringan pada pukul 6 petang iaitu di Kilometer (KM) 2.5, Jalan Bukit Sireh-Kampung Bedal-Kampung Nal; KM 1, Jalan Guchil-Batu Balai dan KM 4.8, Jalan Sungai Durian-Chenulang akibat dinaiki air.
Sementara itu, laporan paras air di beberapa sungai utama di negeri ini di beberapa pusat bacaan telah melebihi paras bahaya dan memberi ancaman banjir kepada kawasan-kawasan yang rendah.
Paras air Sungai Kelantan di Tangga Krai berada pada kedalaman 25.28 meter iaitu melebihi paras bahaya pada kedalaman 25 meter, manakala di Jambatan Guillemard paras air adalah 16.3 meter melebih paras bahaya 16 meter.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131205/dn_01/Banjir-semakin-buruk#ixzz2mYG157dZ
© Utusan Melayu (M) Bhd