Ramli bersama isteri dan anak saudaranya menunjukkan laporan polis yang dibuat.
SABAK BERNAM – "Ingatkan dapat peroleh wang RM1,500 sebulan, malangnya wang simpanan sebanyak RM25,000 pula lebur,” luah sepasang suami isteri warga emas yang mendakwa telah dipukau empat lelaki, di dua bank dekat Sungai Besar, pagi Jumaat lalu.
Ramli Asari, 74, dan isterinya, Salamah Ramam, 65, mendakwa dipukau empat lelaki tidak dikenali termasuk seorang lelaki bergelar ‘datuk’ kononnya ingin menyewa tapak hadapan rumah bagi projek pemasangan kabel elektrik.
Ramli berkata, dia didatangi tiga lelaki kira-kira jam 9 pagi Jumaat lalu sewaktu keluar mengikut pintu belakang rumahnya di Parit 15 untuk ke kedai makan berdekatan.
“Tiba-tiba muncul seorang lelaki tidak dikenali bertanya kepada saya sama ada sihat atau tidak sambil tangannya memegang dan mengurut lengan tangan kanan saya dan tersenyum.
“Tidak sampai seminit, dua lagi rakannya menghampiri saya dan mereka masuk ke dapur rumah sambil menyatakan hasrat mahu menyewa tapak rumah dengan bayaran RM1,500 sebulan bagi projek pemasangan kabel elektrik. Mereka juga beritahu akan meletakkan seorang pengawal keselamatan untuk mengawal keadaan dengan bayaran RM800 sebulan.
“Salah seorang lelaki itu menjelaskan, saya akan peroleh sewa tahunan sebanyak RM18,000 setahun dan mereka akan membayar gaji pengawal keselamatan sebanyak RM9,600 setahun,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, sebelum bayaran dibuat, tiga lelaki itu mengarahkannya mengeluarkan kesemua wang simpanan bagi mengelakkan dikenakan cukai pendapatan sebelum wang itu dimasukkan ke dalam akaunnya.
“Mereka mengajak saya dan isteri ikut mereka naik kereta ke Sungai Besar untuk keluarkan duit dalam bank kononnya bagi memudahkan urusan kemasukan wang ke dalam akaun baru,” katanya.
Ramli berkata, sebaik sampai, dia dan isteri mengeluarkan wang sebanyak RM15,000 di bank pertama dan kemudiannya ke bank seterusnya bagi tujuan pengeluaran sebanyak RM10,000 lagi untuk membuat akaun bank baru.
“Selesai sahaja urusan pengambilan wang di bank kedua, saya dan isteri dipanggil masuk semula ke dalam kereta. Ketika itu seorang lelaki yang dipanggil datuk memberitahu dia akan menguruskan wang tersebut.
“Datuk itu kemudiannya mengarahkan saya dan isteri pergi semula ke bank kedua untuk buka satu lagi akaun bank simpanan dan disuruh meninggalkan duit yang telah kami keluarkan,” katanya.
Menurut Ramli, dia berasa hairan kerana nombor giliran yang diserahkan datuk itu kepadanya tidak dipanggil oleh kaunter lalu bertindak meninjau hadapan luar institusi kewangan berkenaan.
“Jantung saya berdegup kencang bila sedar kereta yang kami naiki bersama tiga lelaki tadi dah tak ada di kawasan parkir. Kami cuba cari mereka di sekeliling tapi kelibat pun tak jumpa. Ketika itu, saya tersedar, kami sudah dipukau," katanya sayu.
Ramli memberitahu, setelah menunggu agak lama di situ, anak saudaranya, Norlaila Saini, 42, kebetulan melalui jalan berkenaan membawa mereka pulang sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad mengesahkan pihaknya menerima laporan kes terbabit.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan kerana menipu.