 |
Rumah rakit yang digunakan pemancing untuk ke lokasi memancing. |
PASIR GUDANG - Dua beranak dikhuatiri lemas ketika memancing di sebuah rumah rakit berhampiran jeti Kampung Tanjung Langsat, di sini, kelmarin.
Kejadian berlaku lebih kurang jam 4.30 petang ketika mangsa, Abdul Talib Mohd Hadhari, 42, cuba menyelamatkan anaknya, Muhammad Taufik, 8, yang terjatuh ke dalam perairan Tanjung Langsat sebelum kedua-duanya dihanyutkan arus deras.
 |
Nurul Humairah bersama ibunya ketika menceritakan detik cemas melihat ayah dan adiknya tenggelam di bawa arus deras. |
Abdul Talib yang bekerja sebagai penyelia sebuah kilang di Pasir Gudang turut membawa bersama anak perempuannya, Nurul Humairah, 11, dan dua rakan menaiki rumah rakit untuk memancing di kawasan berkenaan sejak awal pagi, kelmarin.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Fadzil Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.25 petang, kelmarin.
 |
Operasi yang dijalankan masih belum berjaya menemui kedua-dua mangsa. |
Menurutnya, pada hari pertama operasi seramai enam anggota bersama satu jentera dihantar ke lokasi kejadian mencari di permukaan laut.
“Operasi hari pertama ditamatkan pada jam 12 tengah malam.
“Manakala operasi hari kedua pula bermula pada jam 6 pagi melibatkan keseluruhan 46 anggota termasuk unit scuba, Jabatan Pertahanan Awam dan polis,” katanya.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dan sehingga jam 6 petang, semalam kedua-dua mangsa masih belum berjaya ditemui.
Suami berkelakuan pelik.
Sementara itu, isteri mangsa tidak menyangka tindakan suaminya membawa dua anaknya ke lokasi memancing kelmarin membawa petanda buruk.
Abidah Atim, 43, berkata, suaminya memang gemar memancing dan kerap ke laut bersama rakan-rakan.
Bagaimanapun menurutnya, tindakan suami pertama kali membawa bersama dua anaknya, Nurul Humairah dan Muhammad Taufik agak mencurigakan, namun dia sekadar mendiamkan diri.
“Dia (suami) keluar rumah di Kampung Baru Sungai Redang, Ulu Tiram lebih kurang jam 7.30 pagi, kelmarin bersama dua anak.
“Saya sudah merasa pelik kerana dia (suami) tidak pernah mengajak atau membawa anak bersamanya keluar memancing,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Abidah berkata, dia terkejut menerima panggilan daripada Nurul Humairah kira-kira jam 5.05 petang yang memberitahu ayah bersama adiknya dihanyutkan arus deras.
“Dalam keadaan terkejut saya bergegas ke Balai Polis Tiram untuk membuat laporan,” katanya.
Lemas depan mata
“Saya lihat ayah tenggelam bersama adik selepas tali pancing yang dihulur kawan ayah terputus dipukul arus deras,” kata Nurul Humairah.
Katanya, dia bersama adiknya, Muhammad Taufik, gembira kerana pertama kali berpeluang mengikut ayahnya keluar memancing.
Menurutnya, ketika ayahnya sedang memancing, Muhammad Taufik bermain air dengan menghulurkan kakinya ke dalam laut melalui lantai rumah rakit sebelum terjatuh.
“Saya menjerit memanggil ayah sebaik melihat Taufik terjatuh ke dalam laut...ayah yang terkejut segera terjun untuk selamatkan Taufik.
“Kawan ayah mencampakkan tali pancing dan sempat dipegang ayah. Tapi ketika kawan ayah tarik, tali itu terputus kerana dipukul arus deras lalu ayah tenggelam bersama adik,” katanya.
Nurul Humairah berkata, dia menanti dengan penuh harapan agar ayah dan adiknya kembali timbul di permukaan laut, namun tidak kesampaian.
“Saya dibawa kawan-kawan ayah ke jeti sementara menunggu bantuan tiba selepas ayah tidak timbul-timbul,” katanya.
Ambil iktibar
Kejadian seorang bapa dan anak yang dikhuatiri lemas ketika memancing di Perairan Tanjung Langsat, kelmarin wajar dijadikan iktibar kepada pemancing lain.
Penduduk, Yahya Hashim, 65, berkata, kejadian itu pertama kali berlaku sepanjang lebih 20 tahun menetap di perkampungan nelayan itu.
Menurutnya, pemancing sebelum ini tidak pernah membawa anak di bawah umur 12 tahun menaiki rumah rakit ke lokasi memancing beberapa kilometer dari jeti.
“Kawasan ini memang sudah lama menjadi port kaki pancing bersantai sambil memancing di rumah rakit yang disediakan.
“Saya lihat ini satu kecuaian kerana sepatutnya tak perlu bawa anak sekecil itu kerana budak-budak kalau nampak air mesti teruja nak bermain,” katanya.
Yahya berkata, rumah rakit yang disediakan boleh memuatkan lapan pemancing untuk saiz kecil dan 15 pemancing untuk rumah rakit bersaiz besar.
Menurutnya, rumah rakit yang lengkap disediakan jaket keselamatan itu biasanya disewa sekeluarga atau sekumpulan pemancing yang ingin bersantai sambil memancing.
“Jaket keselamatan memang ada disediakan di rumah rakti tersebut, tapi biasanya tidak dipakai oleh pemancing,” katanya.