 |
Aneeta Prem
|
LONDON - Tiga wanita termasuk seorang rakyat Malaysia yang dikurung selama 30 tahun di sebuah rumah di sini telah dibelasah dan menjadi mangsa penderaan minda, kata polis Britain kelmarin.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika polis masih keliru dengan jenayah tersebut yang disifatkan sebagai kes perhambaan zaman moden terburuk di Britain.
Komander Polis Metropolitan London, Steve Rodhouse berkata, setakat ini mereka cuba untuk memahami 'ikatan ghaib' yang digunakan untuk mengawal mangsa.
"Seorang wanita itu yang berusia 30 tahun telah menjadi hamba sepanjang hidupnya.
"Apa yang kami fahami setakat ini adalah mereka dibelenggu secara emosi selama bertahun-tahun," kata Rodhouse.
"Mudah untuk menggunakan istilah cuci otak (brainwash) bagi menerangkan kes tersebut tetapi saya fikir ia memperkecilkan penderaan emosi yang dialami oleh mangsa," tambahnya.
Beliau juga mendedahkan bahawa dua suspek dalam kes tersebut iaitu seorang lelaki dan wanita yang berusia 67 tahun pernah ditahan dalam tahun 1970-an tanpa memberikan butiran lanjut.
Mereka katanya, ditangkap di sebuah rumah di Lambeth, selatan bandar raya ini pada Khamis lalu.
Pasangan berkenaan yang merupakan rakyat asing juga disyaki melakukan kesalahan imigresen.
Namun, mereka telah dibebaskan secara bersyarat hingga Januari depan sementara menunggu siasatan lanjut dilakukan.
Pasport kedua-duanya dirampas dengan mereka dilarang untuk kembali ke rumah berkenaan.
Rodhouse menambah, kes tersebut adalah 'unik.'
Kesemua wanita itu diselamatkan pada 25 Oktober lalu, seminggu selepas mereka membuat panggilan telefon rahsia kepada sebuah badan amal di Britain.
Ketiga-tiga mangsa terdiri daripada seorang rakyat Malaysia berumur 69 tahun, warga Ireland berusia 57 tahun dan wanita tempatan berumur 30 tahun.
Dalam perkembangan berkaitan, akhbar The Guardian melaporkan polis masih menyiasat kemungkinan penahanan tiga wanita itu mempunyai kaitan dengan ajaran sesat.
Polis bagaimanapun enggan mengulas mengenai laporan akhbar berkenaan.
Namun, pasukan penyiasat setakat ini menolak kemungkinan kes itu mempunyai kaitan dengan eksploitasi seks atau pemerdagangan manusia.
Menurut polis, ketiga-tiga wanita itu memberitahu bahawa mereka telah dipukul.
Menjelaskan jurang masa yang wujud antara pembebasan mereka dan penangkapan kedua-dua suspek, polis berkata, pihaknya perlukan masa untuk memahami keterangan mangsa sebelum melakukan tangkapan.
Dalam serbuan pada Khamis lalu di sini, polis mengambil masa 12 jam menggeledah kediaman suspek. Pihak berkuasa merampas lebih 2,500 bahan bukti yang diisi ke dalam 55 buah beg.
Semua 37 anggota Unit Pemerdagangan Manusia Scotland Yard masih menyiasat kes tersebut.
"Siasatan kes ini mungkin mengambil masa beberapa minggu atau bulan," kata ketua unit berkenaan, Detektif Inspektor Kevin Hyland.
Menurutnya, Scotland Yard tidak percaya kes itu ada kaitan dengan mana-mana kumpulan lain. Pihaknya juga tidak mencari mangsa yang lain.
Dalam perkembangan berkaitan, Scotland Yard memberitahu, pihaknya sedang berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan Ireland tetapi tidak menyatakan butiran lanjut.
Hyland berkata, semasa mereka dijadikan tahanan, semua wanita itu dapat keluar dari rumah tersebut tetapi hanya dalam keadaan terkawal.
Pengasas Pertubuhan Amal Kebebasan, Aneeta Prem yang pernah berhubung dengan ketiga-tiga mangsa memberitahu, kisah duka mereka mendorong orang lain untuk tampil membuat aduan mengenai beberapa kes perhambaan lain.
Semua mangsa yang kini ditempatkan di satu lokasi rahsia telah diselamatkan selepas wanita Ireland berkenaan memberanikan diri untuk menelefon badan amal tersebut pada 18 Oktober lalu selepas melihat program mengenainya di televisyen.
Selepas beberapa panggilan, mereka bersetuju untuk menemui pengasas badan amal tersebut yang diiringi pasukan polis.
"Apabila kami bertemu, mereka memeluk saya dan selain menangis mereka mengucapkan terima kasih kepada pertubuhan kami kerana menyelamatkan mereka," kata Prem. - AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1124&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2lXUMjtoI
Hakcipta terpelihara