
SEBAHAGIAN daripada warga Filipina yang ditahan dalam Operasi Warga Asing kerana memiliki kad pengenalan palsu di Flat Sungei Way, Selangor, malam kelmarin. - Utusan/ASWAD YAHYA
KUALA LUMPUR 13 Nov. - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan 20 pengawal keselamatan warga Filipina termasuk enam wanita kerana memiliki kad pengenalan palsu dalam satu serbuan di Pangsapuri SS8, Kelana Jaya di sini malam tadi.
Dalam operasi yang turut disertai oleh Jabatan Imigresen dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kira-kira pukul 1 pagi itu, pasukan terbabit turut menahan 19 warga Indonesia yang bekerja sebagai buruh di kawasan sekitar.
Siasatan mendapati kesemuanya melakukan kesalahan kerana tinggal lebih masa serta tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
Pengarah Siasatan Dan Penguatkuasaan JPN, Wan Zakaria Wan Awang berkata, siasatan awal mendapati kad pengenalan palsu dimiliki pengawal keselamatan terbabit diperoleh daripada ejen dengan harga antara RM300 ke RM500 sekeping.
Katanya, rata-rata individu yang ditahan terbabit telah tinggal di ibu negara ini sejak tiga tahun lalu dengan menggunakan kad pengenalan beralamat di Sabah.
"Kesemua yang memiliki kad pengenalan palsu ini sebenarnya adalah warga Filipina berusia antara 24 ke 35 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang berhampiran kawasan ini.
"Mereka kini ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25 (1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (pindaan 2007) kerana memiliki kad pengenalan palsu," katanya ketika ditemui selepas operasi terbabit.
Menurut Wan Zakaria, pihaknya telah melakukan risikan selama dua minggu di lokasi tersebut sebelum melakukan serbuan terhadap lapan buah rumah yang didiami oleh warga asing terbabit.
"Dalam risikan itu, kita percaya pihak majikan kepada pengawal keselamatan terbabit tidak bersekongkol dengan kumpulan tersebut," katanya.
Ditanya mengenai ejen kad pengenalan terbabit, pihaknya akan menyiasat salah seorang daripada wanita yang ditahan kerana dipercayai menjadi dalang membekalkan kad pengenalan palsu serta mendapatkan pekerjaan bagi warga asing tersebut.
Sementara itu, seorang daripada pengawal keselamatan terbabit mendakwa telah menetap di Semporna, Sabah sejak kecil dan memperoleh kad pengenalan palsu terbabit daripada rakannya bagi membolehkannya bekerja di ibu negara.
Sementara itu, kesemua 20 pengawal keselamatan warga Filipina termasuk enam wanita masing-masing dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki kad pengenalan sama ada palsu atau milik orang lain.
Mereka didakwa di mahkamah kira-kira 12 jam selepas ditangkap oleh JPN di sebuah flat di Sungei Way pagi ini.
Sepuluh daripada mereka dihadapkan di hadapan Majistret Nazri Omran manakala bakinya didakwa di hadapan Majistret K. B. Elena Hong Tze Lan.
Nazri menjatuhkan hukuman itu terhadap Norsimatantung Salip Ullong, Lilie Benzon, Norismah Ramon Sarirun, Syahlan, Omar Kahotor, Eho Jamal, Suaib Rakib, Mhudjahari Nuri, Alim Andios dan Zekri Duamah selepas mereka mengaku bersalah memiliki kad pengenalan palsu.
Sementara Elena menjatuhkan hukuman yang sama terhadap Hanina Hasbibun, Dereng Janatah, Charity Sinpliciano, Asis Kaonjang, Ibs Usalma, Mohamad Bistalik, Marwan Amilon, Madar Tumangon, Masriramon dan Sanahun selepas kesemua mereka mengaku bersalah memiliki kad pengenalan milik orang lain.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan blok A dan B, flat 8, Jalan SS 3/39, Sungei Way, di sini kira-kira pukul 2.30 pagi, hari ini.
Pertuduhan terhadap kesemua tertuduh yang berusia antara 19 dan 44 tahun itu dikemukakan mengikut 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa dari JPN, Zubaidah Zahol Ahmad, bertindak atas maklumat orang ramai, jabatan tersebut melancarkan serbuan dan menahan kesemua tertuduh awal pagi ini.
Semakan dengan bahagian Rekod Kad Pengenalan, JPN mendapati kad pengenalan yang digunakan 10 tertuduh adalah palsu serta dikeluarkan atas alamat di Sabah.
Sementara kad pengenalan 10 tertuduh lagi didaftarkan atas nama orang lain serta beralamat di Sabah.
Siasatan di tempat kejadian juga mendapati kesemua tertuduh berasal dari Filipina dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131114/je_02/20-pengawal-dijel-enam-bulan#ixzz2kbBSj8zN
© Utusan Melayu (M) Bhd