Balik Pulau: Banjir kilat terburuk yang melanda 20 kampung di kawasan ini mencetuskan panik apabila air naik hingga mencapai paras dada menyebabkan kira-kira 1,000 penduduk terjejas.
Hujan lebat yang melanda kawasan itu sejak jam 2 pagi dan berterusan sehingga jam 2 petang selain faktor air laut pasang menyebabkan paras air naik mendadak dengan cepat.
Malah, ada beberapa penduduk yang pada mulanya enggan berpindah kerana mendakwa sudah biasa dengan keadaan itu akur apabila melihat keadaan bertambah buruk.
Selain itu, persiapan penduduk untuk menyambut Aidiladha turut musnah dan ada antara mereka yang mengadakan kenduri kahwin terpaksa menjamu selera dalam keadaan air melimpah di khemah kenduri.
 |
BANJIR yang melanda Kampung Teluk Kumbar, semalam. |
Di Kampung Paya, Teluk Kumbar, di sini tiga wanita warga emas yang uzur diusung keluar anggota penyelamat Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) selepas air naik separas pinggang.
Seorang daripada warga emas terbabit, Jariah Romli, 79, diusung keluar dari rumahnya selepas air didapati tidak surut menyebabkan dia yang uzur menahan kesejukan hampir sembilan jam.
Menurut anak lelakinya, Roslan Ahmad, 54, ibunya pada mulanya enggan keluar dari rumah kerana beranggapan air surut seperti banjir kilat sebelum ini.
“Kawasan rumah kami memang selalu dinaiki air jika hujan lebat, namun surut tidak lama selepas itu.
“Bagaimanapun, hari ini (semalam) banjir kilat yang melanda kampung ini agak pelik kerana air hanya surut sedikit dan saya meminta JPAM membantu mengeluarkan ibu,” katanya.
Menurutnya, hujan lebat melanda sejak jam 4 pagi dan berlarutan hingga tiga jam dan air ketika itu naik hingga paras dada.
“Saya sangka air surut seperti sebelum ini, namun selepas hampir enam jam menunggu air hanya surut hingga paras pinggang.
“Melihatkan keadaan ibu yang uzur dan menahan sejuk saya akhirnya meminta bantuan pasukan keselamatan membawa ibu keluar,” katanya.
Sementara itu, lebih 300 rumah di beberapa kampung sekitar Pulau Betong di sini turut dilanda banjir kilat yang disifatkan sebagai terburuk pernah berlaku di situ.
Tinjauan mendapati air naik sehingga paras pinggang dan penduduk tidak sempat menyelamatkan barang berharga yang musnah ditenggelami air.
Mangsa, Siti Mariam Kassim, 68, berkata, kejadian berkenaan adalah banjir paling buruk yang dialami kerana sebelum ini kediaman mereka tidak pernah dinaiki air sehingga ke paras pinggang.
Katanya, barangan keperluan yang dibeli sempena Aidiladha turut dihanyutkan air dan mereka menyambutnya secara ala kadar.
“Sebelum ini, pernah berlaku banjir, tetapi tidak seteruk ini dan kami juga terkejut dengan keadaan itu, tetapi terpaksa menerimanya.
“Beberapa barangan berharga dan elektrik turut rosak kerana tidak sempat diselamatkan,” katanya.
Dalam kejadian banjir di kawasan itu juga, seorang wanita warga emas dipatuk ular ketika dia dalam perjalanan dari rumahnya menuju ke jalan besar .
Mangsa Aishah Ismail, 68, dikejarkan ke Hospital Balik Pulau (HBP) untuk menerima rawatan dan keadaannya kini dilaporkan stabil.
Antara kawasan lain yang turut dinaiki air adalah Kampung Nelayan, Teluk Kumbar, Taman Iping, Bayan Lepas dan Pintasan Kenari, Sungai Ara.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain berkata, setakat ini 40 penduduk di kawasan Pulau Betong dipindahkan ke Masjid Pulau Betong manakala 30 keluarga di kawasan Teluk Kumbar dipindahkan ke Dewan Masjid Teluk Kumbar.
“Ada ramai lagi penduduk dibawa keluar dari rumah masing-masing dan ada antara mereka menumpang di rumah sanak saudara sementara menunggu air surut.
“Setakat ini keadaan terkawal dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.