BALIK PULAU - Polis memperhebat gerakan mencari suspek kes samun dan bunuh seorang warga emas, Rabu lepas dengan melancarkan Ops Rantau Khas di sekitar Balik Pulau, Teluk Bahang dan Empangan Ayer Itam, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zain berkata, operasi lima jam berakhir jam 3 petang itu bertumpu di kawasan berbukit dan hutan yang disyaki menjadi tempat persembunyian suspek warga Indonesia terbabit.
Polis ingin mencari seorang lelaki dikenali sebagai Alias Minan berusia 30-an bagi membantu siasatan kes itu berikutan penemuan dua kesan cap jari di lokasi kejadian sepadan dengan cap jari lelaki itu.
Lelaki terbabit juga mempunyai rekod lampau serta pernah dipenjarakan bersabit kes pecah rumah.
"Seramai 12 pegawai serta 58 anggota polis terlibat dan kami turut dibantu 38 anggota Rela, SRS (Skim Rondaan Sukarela) dan Jabatan Pertahanan Awam negeri," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, polis akan meneruskan operasi seumpama itu dari semasa ke semasa dan yakin suspek masih berada di Pulau Pinang.
Dalam operasi itu polis menahan lima lelaki Indonesia mengikut Akta Imigresen 1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan siasatan mendapati kesemua mereka tiada kaitan dengan kes itu.
Dalam kejadian samun dan bunuh itu, Chin Len Wong, 83, ditemui anak lelakinya dalam keadaan tenat dan berlumuran darah di rumahnya di Jalan Tun Sardon, di sini pada jam 9 pagi, sebelum meninggal dunia beberapa minit kemudian.
Isteri mangsa, Chang Yook Kee, 71, patah tangan kiri dipercayai dipukul dengan objek tumpul dan keras oleh penjenayah terbabit. - Bernama