 |
Mazlan (tengah) menunjukkan gambar suspek yang diburu polis, Fino (kiri) dan Dawi. |
KOTA BHARU - Empat lelaki berusia antara 26 dan 48 tahun diburu polis bagi membantu siasatan berhubung jenayah peras ugut dan tembak yang berlaku di negeri ini.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, dua daripadanya ialah seorang yang dikenali sebagai ‘Fino’ dan rakannya, ‘Dawi’ yang dicari bagi membantu siasatan kes peras ugut seorang kontraktor supaya menyerahkan RM300,000 di Kok Lanas di sini, semalam.
Katanya, Fino atau nama sebenar, Mohd Norfino Omar,30, beralamat di Lorong Che Husin, Berek 12, manakala, Dawi atau Mohd Al Badawi Ab Kadir, 26, pula beralamat di Jalan Kampung Kubang Edang, Melor.
“Kedua-dua lelaki ini menelefon mangsa dan meminta RM300,000 yang didakwa dihutang oleh mangsa serta turut mengugut untuk menembak kontraktor itu jika beliau enggan menurutinya.
“Hasil siasatan awal bagaimanapun mangsa memberitahu dia ada membuat perniagaan kongsi, namun, menafikan mengambil wang tersebut,” katanya pada sidang media selepas penutupan Seminar Pencegahan Jenayah Remaja di Dewan Jubli Perak
MPKB BRI, di sini, semalam.
Beliau berkata, kedua-dua suspek ini juga dipercayai terlibat dengan kes simbah asid, tahun lalu dan mereka semakin aktif melakukan jenayah ugut kepada ramai orang.
Sementara itu, seorang lelaki dikenali sebagai Mat Ropi atau Mohd Rafi Ismail, 48, dari Belakang Klinik Kemumin Pengkalan Chepa, juga diburu kerana dipercayai ketua kepada seorang penjenayah iaitu, Hatim Mohd Zain, 24, atau Mat Atim iaitu suspek
utama kes tembak dan tetak hingga mati seorang bekas anggota tentera, Sauti Muda, 57, pada 5 Februari lalu.
“Mat Ropi adalah ketua sindiket tarik kereta di Bachok dan juga dipercayai ketua yang memberi arahan kepada Mat Atim untuk melakukan pembunuhan itu,” katanya.
Seorang lagi yang dicari polis ialah Mohd Khairul Ahmad Bastaman, 29, bagi membantu kes tembak mati seorang penoreh getah, Amirul Tajo Nasir, 40, di sebuah kedai makan di Kampung Telosan, 5 Ogos lalu.
“Ketika kejadian, lelaki ini ada bersama minum dengan mangsa di kedai itu.
Sejak kejadian itu, Khairul menghilangkan diri dan gagal dikesan sehingga hari ini (semalam).
Kami percaya dia adalah petunjuk dalam kes ini.
“Sehubungan itu, kami mohon kepada orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Kerjasama orang ramai sangat diperlukan dalam usaha menurunkan kadar jenayah di Kelantan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata jenayah dalam kalangan remaja di negeri ini setakat Ogos 2013 mencatatkan peningkatan sebanyak 40 peratus dengan 102 tangkapan berbanding 62 ditahan pada tempoh sama tahun lalu.
“Peratusan ini membabitkan jenayah rogol, pergaduhan, curi dalam bangunan, curi motosikal dan pecah rumah. Pun begitu, ia tidak membimbangkan, namun, sebaiknya kami tidak mahu ada kenaikan keskes jenayah membabitkan remaja terutamanya pelajar sekolah,” katanya.