SHAH ALAM 4 Sept. - Seorang bekas juruelektrik dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membakar kenalan wanitanya sehingga menyebabkan kecederaan parah, dua tahun lalu.
Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar memutuskan demikian terhadap M. Sivakumar, 42, dan memerintahkan hukuman itu berkuat kuasa hari ini.
Lelaki itu mengakui, dia dengan sengaja telah menggunakan cecair petrol dan membakar menggunakan pemetik api terhadap R. Seroja, 37, di tepi jalan persimpangan tiga lampu isyarat, Jalan Kebun, Seksyen 36, di sini, kira-kira pukul 7.30 pagi, 7 April 2011.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian Seroja yang menunggang motosikal telah berhenti ketika lampu isyarat merah sebelum tertuduh yang juga menunggang motosikal lain menghampiri dan memegang tangannya.
Tertuduh yang telah mengenali wanita itu sejak dua tahun lalu, kemudian telah mengambil petrol dan menyimbah ke arah mangsa sebelum menyalakan api dan terus melarikan diri.
Mangsa yang terbakar telah terjun ke dalam parit berhampiran dan mengalami kesan melecur 40 peratus di bahagian muka dan badan akibat kejadian itu.
Lelaki itu pula berjaya ditahan pihak polis di Pulau Besar, Melaka pada 24 Mac lalu.
Sementara itu, dalam kenyataan impak kesalahan terhadap mangsa (VIS) wanita itu memberitahu, dia mempunyai seorang anak perempuan dan telah berpisah dengan suaminya sejak enam tahun lalu.
Katanya akibat kejadian itu, dia mengalami kesukaran untuk tidur dan malu keluar rumah selain kerap memikirkan pandangan masyarakat terhadap dirinya.
Seroja yang sebelum ini bekerja sebagai operator pengeluaran kilang berkata, kini dia tidak bekerja disebabkan tangannya gagal berfungsi seperti biasa dan hanya mendapat bantuan RM600 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
"Sebelum kejadian saya memperoleh pendapatan RM2,000 tetapi kini saya tiada sumber pendapatan, saya mahu bekerja semula demi masa depan anak saya," katanya.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon mahkamah meringankan hukuman kerana dia adalah penanggung tunggal keluarga.
''Saya minta ampun tuan. Saya ada isteri dan anak dan mereka perlukan saya. Saya insaf atas perbuatan saya. Ini semua berlaku kerana perasaan marah saya,'' katanya.
Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Asmary Abdul Rahim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira trauma yang dihadapi mangsa.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130905/ma_05/Bakar-kenalan-Lelaki-dipenjara-empat-tahun#ixzz2eGdLIsfJ
© Utusan Melayu (M) Bhd