Seorang wanita warga Filipina terpaksa hidup seperti dalam neraka selama 16 hari apabila dipaksa melacur selepas menerima tawaran pekerjaan daripada ejen yang menawarkan gaji lumayan di negara ini.
Lebih menyedihkan, dia bekerja tanpa dibayar gaji, dikurung di dalam rumah dan tidak dibenarkan berkomunikasi dengan sesiapa, malah ditengking dan diugut bunuh jika ingkar arahan bapa ayam untuk melayan pelanggan.
Itu antara azab yang terpaksa ditanggung Lisa, 24, yang menjadi mangsa pemerdagangan orang selepas diperdaya sebuah agensi pekerja asing di negaranya.
Menurut Lisa, pada mulanya atas desakan kemiskinan, dia nekad merantau mencari pekerjaan di negaranya sebelum bertukar fikiran apabila seorang wanita menawarkannya kerja di daerah ini dengan bayaran lumayan.
Katanya, dia dan beberapa lagi wanita pada mulanya dijanjikan pekerjaan dengan pendapatan lumayan iaitu kira-kira 50,000 Peso (RM5,000) sebulan.
“Saya pada mulanya berat untuk menerima tawaran itu tapi selepas memikirkan kehidupan keluarga yang daif, saya bersetuju merantau ke sini.
“Kami dibawa masuk ke negara ini menggunakan bot penumpang dari Pulau Jolo dengan masa perjalanan selama hampir 36 jam,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, di sini, semalam.
Lisa kini dalam jagaan polis selepas diselamatkan Sabtu lalu hasil kerjasama Metro Ahad dan orang awam.
Menurutnya, mereka dibawa masuk menggunakan laluan tikus di sebuah kawasan setinggan sebelum diambil menggunakan sebuah kereta mewah untuk dihantar ke sebuah hotel.
Katanya, setibanya mereka di hotel terbabit, bermulalah titik hitam buat mereka apabila disuruh memakai pakaian seksi sebelum diarah berbaris untuk diperagakan di depan beberapa pelanggan.
“Walaupun letih akibat perjalanan jauh, kami terus disuruh bekerja pada malam itu juga. Saya diberi nombor B29 yang dilekatkan di paha dan diarah beratur di depan pelanggan.
“Ketika itu, saya sangat takut dan apabila nombor saya dipanggil, saya terpaksa mengikut seorang pelanggan untuk masuk ke dalam bilik khas di hotel berkenaan sebelum diarah membuka pakaian.
“Saya merayu kepada pelanggan terbabit supaya tidak melakukan apa-apa terhadap saya dan terus menangis hinggalah pelanggan terbabit marah dan keluar dari bilik untuk melaporkan kepada ‘bos’ (bapa ayam),” katanya.
Menurutnya, dia kemudian dipanggil majikannya sebelum dimarahi habis-habisan kerana tidak mahu melayan pelanggan yang membayar harga ditetapkan.
“Selepas puas memarahi saya, majikan terus mengarahkan saya memakai pakaian semula dan kembali berbaris di depan pelanggan yang baru datang.
“Sekali lagi, saya dipilih seorang pelanggan lain. Saya terpaksa mengikutinya ke dalam bilik tapi kali ini ‘bos’ berdiri di depan pintu bilik dengan riak wajah menakutkan, seolah-olah mahu membunuh,” katanya.
Menurutnya, dia terpaksa memuaskan nafsu pelanggannya itu kerana bimbang dicederakan, tetapi bukan setakat itu saja, selepas selesai menghiburkan pelanggannya, dia dipaksa kembali beratur untuk diperagakan kepada pelanggan lain yang baru tiba.
“Saya dipilih lagi tapi pada kali ini berbeza kerana dihantar ke hotel lain untuk bermalam bersama pelanggan itu.
“Pemandu datang mengambil saya semula dari hotel pada jam 6 pagi keesokannya sebelum dihantar pulang ke sebuah apartmen.
“Kami diarah berehat sebelum diambil semula bekerja pada jam 12 tengah hari dan itulah rutin harian kami. Kami hanya dibenarkan berehat jika datang haid,” katanya.
Menurutnya, selama 16 hari dia hidup dalam kesengsaraan kerana ada kalanya dia terpaksa melayan sehingga empat lelaki berbeza pada hari sama.
Lebih malang, katanya, ada pelanggan enggan menggunakan kondom dan dia terpaksa akur kerana khuatir dimarahi bapa ayam hingga menyebabkannya mengandung.
“Mujur saya mengalami keguguran baru-baru ini, kalau tidak, saya tak tahu siapa bapa anak itu,” katanya.
Katanya, penderitaannya berakhir selepas diselamatkan sebuah keluarga pada 27 Julai lalu sebelum berada dalam jagaan polis sejak Sabtu lalu.
“Terima kasih kepada keluarga Wati kerana membantu saya hampir sebulan. Saya tiada siapa untuk mengadu nasib, mujur Wati menghubungi Metro Ahad yang kemudian bekerjasama dengan polis untuk menyelamatkan saya,” katanya.