Beginilah keadaan rumah Noraham yang uzur dan senget dengan beberapa tiang bawah rumah juga sudah tercabut.
Ibu tunggal enam anak ini berkata, setiap kali ribut atau angin kencang, rumah dihuni sejak 28 tahun lalu akan bergerak-gerak berikutan beberapa tiang bawah rumah itu turut tercabut dan reput dimamah usia.
Menurutnya, keadaan itu merunsingkannya, apatah lagi khuatir rumahnya itu akan runtuh dan menghempap rumah jiran sebelah.
"Kalau rumah makcik yang uzur ini hempap rumah orang, macam manalah makcik nak ganti sedangkan duit perbelanjaan harian makcik pun anak-anak yang beri sebab makcik sudah lama tak bekerja.
“Selepas pembedahan membuang ketumbuhan dalam perut Disember tahun lalu, makcik tak boleh bekerja kuat,” katanya bekas isteri kepada peneroka ketika dikunjungi di rumahnya di Felda Kerteh 6, di sini.
Selepas bercerai dengan suaminya, Noraham tinggal di rumah tersebut bersama anak-anak sebelum terpaksa tinggal di dapur sejak 10 tahun lalu kerana rumah berkenaan hampir reput dan beberapa tiang bawah rumah mula tercabut satu persatu.
Noraham berkata, sebelum ini dia menerima sumbangan RM10,000 daripada Felda dan wang berkenaan digunakan untuk membaik pulih bahagian dapur yang menjadi tempat dia dan anak bujangnya berteduh.
“Lama-kelamaan keadaan rumah semakin teruk dan sekarang sudah senget. Sebab itu apabila ribut, makcik lari dan tumpang tidur di rumah jiran. Kadang-kadang makcik pulang ke rumah mak di Felda Bukit Bading, Hulu Terengganu.
“Sekarang, papan lantai juga mula reput dan makcik tak berani lagi masuk ke dalam ruang tamu dan bilik tidur. Nak harapkan anak untuk bantu baiki rumah, empat anak makcik perempuan, mereka tak bekerja dan cuma suri rumah. Dua anak lelaki makcik pula hanya bekerja biasa dan hanya mampu menyara diri mereka sahaja,” katanya.
Anaknya, Mohd Shamsul Hadi Abdul Rashid, 28, bekerja sebagai pengawal keselamatan di Pulau Pinang sementara Mohd Shamil Shazwan, 22, bekerja sebagai pemandu van di Marang.
“Jadi makcik sangat berharap ada pihak sudi membantu membaik pulih atau membina rumah baru untuk makcik berteduh, kalau rumah itu cuma ada dua bilik tidur pun sudah memadai sebab makcik teringin lihat anak cucu yang datang jenguk makcik dapat tidur di rumah makcik.
“Kalau dapat rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) makcik lagi bersyukur,” katanya.
Sehubungan itu, mana-mana pihak yang bersimpati dan ingin memberikan bantuan boleh menghubunginya menerusi talian 013-9976294 atau menyalurkan terus sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya yang bernombor 11112-29-848526112.
Sementara itu, Adun Kemasik, Ir Rosli Othman berkata, pihaknya akan meneliti terlebih dahulu masalah yang dihadapi Noraham.
“Felda menyediakan peruntukan atau pinjaman kepada peserta maksimum RM40,000 untuk baiki rumah selain sumbangan sebanyak RM10,000. Kita akan periksa dahulu perkara ini,” katanya.