
Mee Chin di bawa ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan membunuh anak perempuannya yang meninggal dunia di HRPB, petang kelmarin.
IPOH – Ibu kepada kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang didera secara kejam, dihadapkan sekali lagi ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan membunuh.
Pendakwaan terhadap Chong Mee Chin, 30, itu dibuat setelah anaknya, Ho Yan Hui yang sebelum ini berada dalam keadaan koma di Unit Rawatan Rapi Pediatrik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) meninggal dunia kira-kira jam 2.40 petang, kelmarin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan ketika kes itu disebut di hadapan Majistret Haslinda A Raof.
Mee Chin yang memakai baju lokap warna hijau didakwa telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas anak perempuannya itu di ruang tamu rumah di Laluan Kledang Utara 7, Taman Wang, Menglembu di sini kira-kira jam 9 pagi, 12 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Haslinda kemudiannya menetapkan 25 Oktober depan untuk sebutan semula kes itu.
Dengan pertuduhan terbaru ini, ia menjadikan keseluruhan tiga pertuduhan terhadap Mee Chin.
20 Ogos lalu, Mee Chin diperintahkan untuk tidak mendekati anaknya meskipun dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM10,000 serta mengarahkan menjalani pemeriksaan psikiatri selama sebulan oleh Mahkamah Majistret.
Dia yang diwakili peguam ketika itu mengaku tidak bersalah dan minta bicara atas pertuduhan melakukan penganiayaan ke atas anaknya itu dengan memukul kepala dan seluruh badan menggunakan rotan yang didakwa mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Bagi pertuduhan kedua, Mee Chin didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap mangsa yang dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Tertuduh kini berhadapan dengan tiga pertuduhan iaitu di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 302 Kanun
Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, hasil laporan bedah siasat mendapati kanak-kanak malang itu sah meninggal akibat pengumpulan nanah dalam otaknya.
Menurutnya, perkara tersebut terjadi akibat jangkitan kuman yang berlaku pada darah mangsa yang dipercayai berpunca dari kecederaan silam yang dialami kanak-kanak itu.
“Mangsa merupakan orang kurang upaya (OKU) mengalami banyak kesan kecederaan akibat didera. Bagaimanapun kes berkenaan diserahkan kepada mahkamah untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini.