Jeli: “Sepatutnya dia pulang ke Gerik, Perak, semalam (kelmarin), tetapi kami adik-beradik memujuknya supaya menangguhkannya terlebih dulu kerana mahu berkumpul membakar ayam bersama-sama malam tadi (malam kelmarin).
“Dia akur dan pulang hari ini (semalam). Tak sangka malam tadi menjadi hari terakhir kami bertemu,” kata Wan Abd Halim Wan Hamat, 40, abang kepada anggota polis, Lans Koperal Wan Sabri Wan Hamat, 33, yang maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 129.5 Lebuh Raya Timur Barat Jeli, berhampiran Hentian Damai, dekat sini, semalam.
Lebih memilukan, dalam kejadian jam 10.30 pagi, isteri Wan Sabri, Nor Roslina Omar, 34 dan anak perempuannya Wan Husna, lapan bulan, turut maut dalam kemalangan, manakala seorang lagi anaknya Wan Nor Hakimah, 6, cedera.
Tiga beranak itu maut di tempat kejadian dengan Wan Husna tercampak dari kereta. Mayat mereka dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat, manakala Wan Nor Hakimah dirawat di Hospital Jeli.
Wan Sabri dan keluarganya dalam perjalanan ke Gerik selepas menghabiskan cuti Aidilfitri di kampungnya di Kampung Changgai, Gaal, Pasir Puteh sebelum terbabit kemalangan apabila kereta Proton Wira dipandu melanggar sebuah treler dari arah bertentangan.
Suasana pilu menyelubungi perkarangan rumah mayat hospital apabila keluarga mangsa, antaranya bapa Wan Sabri, Wan Hamat Husin, 70 dan ibu, Napisah Hamzah, 64, berada di hospital untuk menuntut jenazah anak mereka.
Menurut Wan Abdul Halim, adiknya pulang ke Kampung Changgai sehari sebelum Aidilfitri.
Katanya, dia melihat perubahan pada anak keempat daripada enam beradik itu apabila tidak banyak bercakap.
“Kebiasaannya arwah gemar berseloroh, tetapi saya lihat dia tidak banyak bercakap hinggalah dia bertolak ke Gerik pada jam 8.30 pagi tadi (semalam),” katanya ketika ditemui di Kampung Changgai, semalam.
Dalam pada itu, Wan Hamat berkata, anaknya sempat mencium pipi ibunya dan mencium tangannya sebelum bertolak pulang ke Gerik untuk kembali meneruskan tugasnya sebagai anggota polis di Balai Polis Kampung Lalang, Gerik. “Dia kelihatan ceria dan saya sempat bermain-main dengan cucu. Anak, menantu dan kedua-dua cucu saya sempat makan nasi sebelum pulang,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jeli Mat Yusoff Hamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.40 pagi dan satu jentera serta kenderaan serba guna bomba bersama lima anggota bomba dihantar ke tempat kejadian.
“Ketika tiba di tempat kejadian, dua mangsa yang tersepit di dalam kereta meninggal dunia, manakala bayi mereka tercampak di atas jalan. Seorang lagi anak mangsa cedera dan berada di dalam kereta.
“Kita mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit,” katanya.
Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan Sheik Azhar Sheik Omar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan itu.