Sungkai: Leher digantung 10 biji loceng, disuakan dengan rumput untuk dimakan dan diejek dengan panggilan lembu oleh murid lain serta guru.
Itu detik memalukan terpaksa dilalui dua murid Tahun Empat sepanjang sesi persekolahan di sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) di sini, Khamis lalu, disebabkan tidak menyiapkan ‘kerja rumah’ mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Turut dirotan guru
Lebih menyedihkan, selain turut dirotan, dua kanak-kanak berusia 10 tahun itu tidak dibenarkan pulang ke rumah sebaik tamat sesi persekolahan pada jam 1.30 tengah hari, sebaliknya diminta menyudahkan tugasan yang belum disiapkan di sekolah sehingga jam 4 petang, tanpa menjamah sebarang makanan.
Anehnya, dua murid lain bukan beragama Islam yang juga tidak menyiapkan tugasan sekolah berkenaan dilepaskan daripada sebarang hukuman atas alasan ‘masalah kesihatan.’
Guru Bahasa Inggeris berusia 20-an, turut didakwa melontarkan kata-kata ‘lembu tidak buat kerja rumah, mesti kena makan rumput,’ manakala guru lain yang masuk ke kelas itu pula berkata ‘sejak bila dalam kelas ini ada dua ekor lembu,’ rakan sekelas mengejek mereka dengan panggilan lembu.
Kesal dengan perbuatan itu, ibu kepada dua kanak-kanak berkenaan, membuat laporan polis di Balai Polis Sungkai pada jam 1.20 tengah hari, kelmarin.
Ibu kepada seorang kanak-kanak terbabit, Yarnis Kasuma Dewi Zainal Aripin, 32, berkata beliau diberitahu rakan anaknya bahawa guru terbabit turut mengambil gambar mereka berdua memakai loceng menggunakan telefon bimbitnya dan menunjukkan gambar itu kepada murid di kelas lain, sambil mengugut akan memuat naik gambar itu dalam Facebook.
“Akibat kejadian itu, anak saya fobia ke sekolah semalam. Saya kecewa, sedih dan sakit hati anak saya diperlakukan seperti itu,” katanya ketika ditemui di kawasan Surau Awamiah, Taman Permai, di sini, semalam.
Seorang daripada murid yang turut menyertai pertemuan itu bagaimanapun mengakui mereka tidak makan rumput yang diberikan tetapi diberi amaran supaya tidak membuka loceng yang digantung di leher sehingga jam 1.30 tengah hari, jika tidak mahu dirotan sebanyak 10 kali.
Guru tak ikhlas mohon maaf
Ibu kepada seorang lagi kanak-kanak, Siti Aisyah Hashim, 32, berkata dalam pertemuan dengan guru terbabit dan guru besar sekolah berkenaan di Balai Polis Sungkai, petang kelmarin, guru berkenaan memohon maaf, tetapi seperti tidak ikhlas. Pertemuan itu turut dihadiri dua wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batang Padang.
Bapa saudara kepada seorang murid terbabit, Muktasis Hashim, 28, berkata guru itu menyatakan dua murid lain tidak dihukum kerana ada perakuan masalah kesihatan.
“Saya katakan kepadanya anak saudara saya pun ada surat doktor berkaitan asma, dia hanya diam,” katanya.
Sehubungan itu, ketiga-tiga mereka mendesak pihak berwajib mengambil tindakan tatatertib terhadap guru terbabit, termasuk memindah-kannya ke sekolah lain dengan menegaskan isu itu mungkin berpanjangan jika guru berkenaan masih terus mengajar di di situ.
Usaha media untuk mendapatkan komen guru besar sekolah berkenaan tidak dilayan dan pengawal keselamatan sekolah memaklumkan beliau sibuk, selain tidak mahu diganggu.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Perak, Muhamat Roli Hassan, berkata pihaknya akan menunggu hasil siasatan PPD Batang Padang sebelum mengambil tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw, berkata guru berusia 26 tahun itu yang baru dua tahun mengajar di sekolah berkenaan mengaku melakukan perbuatan terbabit tetapi menafikan memberi murid memakan rumput.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Malim, yang juga Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohamad Amin Othman, meminta semua pihak tidak menjadikan kes itu sebagai isu perkauman.