Kuala Lumpur: Mayat seorang warga Vietnam berusia 23 tahun, dipercayai dibunuh, ditemui dalam keadaan berbogel di bawah tangga sebuah hotel di Cheras, di sini, awal pagi semalam.
Ketika ditemui jam 5.30 pagi, mayat lelaki terbabit ditemui dengan lebih tiga kesan tikaman di badan. Insiden kejam itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, berdasarkan rakaman CCTV itu, suspek berusia 44 tahun dilihat hanya memakai seluar dalam sambil memegang dua bilah pisau dari bilik hotel mereka di tingkat empat mengejar mangsa yang berbogel hingga ke tingkat satu. “Mereka bergaduh di dalam bilik. Kemudian mangsa dilihat keluar dari bilik dalam keadaan bogel dan dikejar suspek yang hanya memakai seluar dalam sambil memegang dua bilah pisau. “Suspek mengejar mangsa hingga ke tangga tingkat satu hotel sebelum ditikam hingga mati di situ,” katanya pada sidang media di Balai Polis Alam Damai, di sini, semalam. Menurut Mohan, dari rakaman CCTV itu, suspek dilihat kembali ke biliknya dan bersembunyi di situ. “Polis yang menerima laporan bergegas ke tempat kejadian sebelum membuat pemeriksaan di dalam bilik itu. Kita berjaya menemui suspek dalam keadaan murung,” katanya.
Mohan berkata, pemeriksaan lanjut juga menemui dua bilah pisau, dipercayai digunakan suspek untuk menikam mangsa, serta beberapa pil Viagra milik mereka. “Dalam kejadian itu, suspek turut mengalami sedikit luka di badannya, dipercayai terkena senjata digunakannya untuk menikam mangsa,” katanya. Mohan berkata, siasatan awal pihaknya mendapati suspek bekerja sebagai pemandu pelancong manakala mangsa mendaftar masuk ke hotel jam 2 petang, kelmarin. “Mengikut rekod perjalanan si mati, dia masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial, Rabu lalu. Bilik diduduki mereka didaftarkan atas nama suspek, kelmarin,” katanya.
Polis masih menyiasat motif kejadian dan hubungan antara mangsa dengan suspek.
Beliau berkata, suspek dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) manakala mayat mangsa dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam perkembangan lain, Mohan berkata, seorang pemuda warga tempatan nekad terjun dari tingkat 13 sebuah flat di Pudu Ulu, Cheras di sini, jam 10 malam kelmarin, selepas bertengkar dengan ibunya.
Katanya, mangsa yang cedera teruk di kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa dibawa ke PPUKM untuk bedah siasat dan siasatan awal mendapati sebelum kejadian, mangsa bertengkar dengan ibunya.
“Mangsa yang hilang pertimbangan kemudian terjun dari balkoni belakang rumahnya,” katanya.
Mohan berkata, polis merakam percakapan ibu dan beberapa jiran mangsa.