ALOR SETAR 25 Jun - Seorang jurujual kereta terlepas hukuman mati mandatori apabila Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini membebaskan beliau daripada tuduhan membunuh seorang eksekutif pemasaran pada 2006.
Shahril Jaafar, 33, yang terkejut dengan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab melepaskannya daripada pertuduhan, terus meluru keluar mahkamah.
Dalam keadaan masih terkejut, jurujual itu terpaku di hadapan jurugambar yang merakamkan gambarnya namun tidak sampai seminit beliau dipanggil semula ke mahkamah oleh anggota polis untuk Mohd Zaki membenarkan beliau keluar.
Mengikut kertas pertuduhan, Shahril dituduh membunuh eksekutif wanita itu, Chee Gaip Yap, 25, pada 14 Jan 2006 antara pukul 5.30 petang hingga 3.05 pagi 15 Jan 2006 di kawasan Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani.
Jurujual itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Sebelum itu dia ditahan bagi membantu siasatan kes rogol dan membunuh eksekutif pemasaran itu.
Mayat Chee ditemui pada awal pagi 15 Jan 2006 dalam keadaan separuh bogel di Jalan Kelab Cinta Sayang dan dipercayai dirogol. Kejadian berlaku semasa Chee berjoging bersama adik perempuannya berusia 24 tahun.
Kes itu mendapat perhatian umum kerana Shahril, anak seorang ahli perniagaan bergelar "Datuk", melarikan diri ke Perth pada 2006 sehingga mendapat taraf pemastautin tetap Australia.
Dia mengambil kesempatan melarikan diri selepas dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diketahui dan diberkas semula oleh polis sejurus tiba dari Perth di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 17 Januari tahun lepas.
Mohd Zaki yang membacakan keputusan penghakimannya berkata DNA tertuduh dan kesan air mani yang diambil dari kemaluan mangsa tidak sepadan dan bukti untuk mensabitkan kesalahan tertuduh ditolak.
Katanya bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat mangsa mendapati kematian eksekutif wanita itu disebabkan tikaman di lehernya dan bukan akibat rogol.
Dalam perkara ini, pendakwaan gagal membuktikan tertuduh menikam mangsa dan mungkin orang ketiga terlibat berdasarkan keterangan-keterangan saksi tidak dapat ditolak, katanya.
Mohd Zaki berkata beliau berpuas hati dengan penghakimannya dan melepaskan tertuduh kerana tiada bukti-bukti jelas yang boleh mensabitkannya dengan pertuduhan membunuh.
Sementara itu jurucakap keluarga eksekutif itu, Ong Kok Fooi yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Berapit berkata keluarga mangsa akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Razali Che Ani menjalankan pendakwaan manakala Shahril diwakili Shamsul Sulaiman. - BERNAMA
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130625/ma_06/Jurujual-kereta-bebas-tuduhan-bunuh-eksekutif-wanita#ixzz2XQJJTexw
© Utusan Melayu (M) Bhd