13 Mei 2013
DUNGUN - Seorang nelayan kerugian kira-kira RM70,000 apabila rumahnya di Jalan Nibong Stesen di sini musnah dalam kebakaran tengah hari tadi.
Azmi Awang, 43, berkata sebuah kereta Perodua Kancil bernilai RM10,000 dan dokumen penting musnah selepas rumah pusaka milik ibunya itu dijilat api dalam kejadian tengah hari tadi.
"Kesemua buku persekolahan anak termasuk alat pengesan ikan (GPS) milik saya yang bernilai RM5,000 turut gagal diselamatkan dan apa boleh buat itu sudah ketentuan Ilahi," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Ketika kejadian mangsa berada di Jeti Kuala Dungun memuat pukat ke dalam botnya manakala isterinya Normala Abdillah, 38, seorang jururawat mengambil anak mereka di sekolah berhampiran.
Menurut Azmi dia bergegas pulang selepas dimaklumkan abangnya yang tinggal berhampiran rumahnya dan sebaik tiba dia mendapati api sedang marak.
Katanya buat masa ini dia bersama isteri dan tiga anak berusia 7, 12 dan 16 tahun menumpang di rumah abangnya.
Sementara itu Ketua Balai Bomba Dungun Norazizi Che Noh berkata pihaknya menerima panggilan pukul 12.19 tengah hari dan menghantar lapan anggota bersama dua jentera ke tempat kejadian. Mereka mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah bersebelahan. - Bernama