TIGA penyokong Pas dihukum penjara tiga hari dan denda RM1,500 atas tuduhan melakukan khianat dengan memukul dan menendang van kempen BN di Mahkamah Majistret, Kota Bahru, semalam.
KOTA BHARU 8 Mei - Akibat berkelakuan samseng pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), tiga penyokong Pas hari ini menerima padah apabila dihukum penjara tiga hari dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini.
Majistret Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman itu setelah ketiga-tiga mereka mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan memukul, menendang van kempen Barisan Nasional (BN) dan mengoyakkan poster-poster parti pada kenderaan terbabit.
Kejadian berlaku dua hari sebelum hari mengundi pada Ahad lalu dan tertuduh-tertuduh, Mohd. Nabil Fikri Mohd. Zain, 21, Ahmad Redza Aziz, 22, dan Mohd. Aiman Muhammad, 28, ditangkap kelmarin.
Kesemua tertuduh yang berasal dari Baung Bayam di sini turut berdepan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda masing-masing.
Hukuman ke atas ketiga-tiga mereka bermula dari tarikh mereka ditangkap.
Mereka didakwa secara bersama melakukan perbuatan samseng itu di hadapan bangunan Pusat Dagangan Kelantan (KTC), Jalan Stadium di sini pada pukul 2.30 pagi, 3 Mei lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya.
Menurut fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurliyana Md. Zukri, semasa kejadian, van Pemuda BN yang turut membawa penyokong parti itu telah melalui Jalan Stadium di sini.
Bagaimanapun secara tiba-tiba sekumpulan penyokong Pas yang sedang berhimpun di Stadium Sultan Muhammad IV, datang menyerbu ke arah van tersebut.
Penyokong Pas tersebut telah bertindak memukul dan menendang van berkenaan serta mengoyakkan poster-poster BN sebelum menampal poster 'K' (Kekal Kelantan) serta meletakkan bendera Pas pada kenderaan itu.
Pemandu van tersebut berjaya mengecam tiga daripada penyokong Pas terbabit kerana tinggal sekampung di Baung Bayam dan ketiga-tiga lelaki itu ditangkap Isnin lalu.
Dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Mohd. Nabil Fikri mengaku tidak mengundi pada PRU-13 lalu, manakala dua lagi tertuduh mengaku mengundi.
Mohd. Nabil Fikri, pekerja tempat sewa kereta, manakala Ahmad Redza pula seorang tukang cuci dengan penampilan rambut berwarna perang dan Mohd. Aiman seorang tukang paip, turut memohon supaya dikenakan hukuman denda sahaja.
Mereka yang tidak diwakili peguam bela, hadir di mahkamah tanpa ditemani ahli keluarga atau penyokong-penyokong Pas lain.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Nik Habri mengingatkan setiap tertuduh serta orang awam supaya tidak taksub kepada parti politik.
''Hari ini, tidak ada siapa datang bersama kamu. Masa berlaku, ramai yang junjung kamu, bila ke mahkamah kamu tanggung seorang saja. Begitulah yang biasa berlaku.
''Jangan taksub sangat kepada parti politik. Saya tidak kisah nak sokong siapa-siapa. Tapi, ikutlah cara yang betul. Sampai hari mengundi pangkahlah.
''Saya memberikan kamu satu hukuman yang boleh memberi pengajaran kepada kamu dan orang lain, supaya tidak akan berlaku lagi dalam pilihan-pilihan raya selepas ini. Kepentingan awam perlu dijaga,'' tegas Nik Habri.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130509/ma_01/Tiga-penyokong-Pas-bertindak-samseng-dijel-denda#ixzz2SlSg9qKo
© Utusan Melayu (M) Bhd