Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com,.my

Anggota Bomba dan Penyelamat Kulaijaya bekerja keras cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan jalan raya yang mengorbankan lima penumpang termasuk seorang kanak-kanak di Kilometer 17.9 Lebuh Raya Utara-Selatan menghala utara, semalam.
KULAIJAYA 1 Mei - Lima sekeluarga maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta yang dinaiki hilang kawalan dan merempuh tiang papan tanda di Kilometer 17.9, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala ke utara di sini, petang ini.
Kemalangan ngeri tersebut berlaku pukul 4 petang ketika enam sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Puteri di sini, selepas mengunjungi sebuah rumah ibadat di Masai dekat sini.
Mangsa yang maut dikenali sebagai P. Pavai, 65, R. Gita, 42, R. Selvamani, 46, G. Vikneswaran, 19, dan A. Akash, 7, manakala G. Vinithaa, 16, mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Zulkifly Yahya berkata, empat mangsa maut di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan ke hospital.
Beliau berkata, siasatan awal di tempat kejadian, percaya kemalangan berlaku apabila kereta Honda Accord dinaiki keluarga itu terbabas lalu merempuh tiang papan tanda di bahu kiri jalan.
"Rempuhan itu menyebabkan empat mangsa iaitu dua lelaki dan dua wanita maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi iaitu Pavai meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kulaijaya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.
Zulkifly berkata, mayat kesemua yang terkorban dibawa Hospital Kulaijaya untuk dibedah siasat, manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Baharu untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, punca sebenar kemalangan masih lagi disiasat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Sehubungan itu, saksi atau orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan tersebut diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulaijaya di talian 07-6632222," katanya.
Sementara itu, G. Vinesa, 18, yang kematian ibunya, Gita dan neneknya, Pavai dalam insiden itu berkata, kali terakhir dia bertemu dengan ibunya ialah kira-kira pukul 10 pagi ini.
Menurut Vinesa, dia sepatutnya mengikut ibunya pergi ke kuil tersebut untuk bersembahyang namun membatalkan hasrat itu selepas diajak seorang rakan untuk keluar bersiar-siar sempena cuti umum Hari Pekerja.
"Ibu memang selalu pergi ke kuil di Masai pada setiap 1 Mei. Dia juga tidak menunjukkan sebarang perubahan melainkan berpesan kepada saya supaya segera pulang ke rumah nanti.
"Tapi ibu pernah cakap kepada seorang makcik saya yang dia tidak akan pulang ke rumah dan Masai merupakan destinasi terakhirnya," kata Vinesa dalam nada sebak.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130502/je_02/Lima-sekeluarga-maut#ixzz2S5QRF1EN
© Utusan Melayu (M) Bhd