Oleh AZRAI MOHAMMAD
pengarang@utusan.com.my

NOOR Rashid Ibrahim (tengah) menunjukkan dadah dan peralatan memproses bahan tersebut yang dirampas pada sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 2 April - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan kejayaan besar setelah menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan merampas dadah bernilai RM2.3 juta minggu lalu.
Kejayaan itu termasuk membongkar kegiatan sindiket dadah didalangi warga Iran di sebuah kondominium di Jalan Tun Razak di sini yang dijadikan sebagai makmal memproses dadah.
Turut ditangkap ialah seorang keldai dadah warga Pakistan yang menyorok bahan terlarang itu dalam pelapik kasut yang dipakai.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dalam tiga kes tersebut, polis memberkas 11 rakyat asing terdiri daripada tujuh lelaki Iran, tiga lelaki Nigeria dan seorang lelaki Pakistan.
Beliau berkata, tangkapan pertama membabitkan tiga lelaki warga Nigeria dibuat di sebuah premis di Taman Perindustrian KIP, Sri Damansara, Petaling Jaya dekat sini pada 26 Mac lalu.
"Dalam serbuan tersebut, polis berjaya merampas tiga bungkusan dadah jenis syabu seberat tiga kilogram (kg) yang diisi dalam kotak sabun," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Noor Rashid berkata, sindiket kedua didalangi warga Iran ditumpaskan Sabtu lalu, di tiga kondominium di Jalan Kuching, Taman Sri Hartamas dan Jalan Tun Razak di sini.
Beliau berkata, tangkapan pertama pada hari itu dilakukan kira-kira pukul 5.45 petang melibatkan dua lelaki Iran di tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Kuching.
Selepas itu, katanya, polis menahan dua lagi lelaki Iran di Taman Sri Hartamas dan merampas satu bungkusan dadah jenis syabu seberat 485 gram daripada suspek.
"Susulan dua tangkapan itu, polis kemudian menyerbu seunit kondominium di Jalan Tun Razak yang membongkar sebuah makmal mini memproses dadah jenis syabu dan menahan tiga lagi lelaki Iran dipercayai anggota sindiket yang sama.
"Hasil pemeriksaan di makmal mini itu, polis menemukan tiga bungkusan plastik dadah jenis syabu seberat 2.9 kg yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta," katanya.
Beliau berkata, turut ditemukan ialah beberapa bahan kimia seperti 'red phosphorous', 'iodine pellets', 'acetone' dan cecair lain serta peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah.
Pada hari yang sama juga, Noor Rashid berkata, pihaknya memberkas seorang lelaki warga Pakistan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini yang baru tiba dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu.
Katanya, hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis menemukan dua bungkusan dadah jenis syabu seberat kira-kira 1.06 kg dianggarkan bernilai RM200,000 disembunyikan dalam kedua-dua belah tapak kasut lelaki tersebut.
"Kesemua suspek berusia lingkungan 22 hingga 58 tahun kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130403/je_03/Polis-rampas-RM23j-dadah#ixzz2PNel3mZo
© Utusan Melayu (M) Bhd