“Saya tegaskan polis yang bantu mangsa dengan membawanya ke balai untuk membuat laporan,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berhubung dakwaan seorang warga Nigeria mati ketika berada di Balai Polis Jinjang selepas dipercayai dibelasah lebih 200 penduduk di Kampung Batu Muda, di sini, malam kelmarin.
Ku berkata, mangsa disahkan meninggal dunia jam 7.20 malam oleh pegawai perubatan yang tiba di balai polis berkenaan selepas mangsa tiba-tiba rebah ketika mahu membuat laporan polis berkaitan kejadian yang berlaku.
“Dalam insiden itu, anggota MPV menerima maklumat berhubung satu pergaduhan yang tercetus akibat satu kemalangan jalan raya jam 6.30 petang membabitkan kereta dinaiki mangsa, lori dan motosikal sebelum anggota terbabit bergegas ke tempat kejadian untuk meredakan pergaduhan itu.
“Polis kemudian membawa empat lelaki, dua wanita serta dua kanak-kanak warga Nigeria terbabit ke Balai Polis Jinjang untuk membuat laporan, namun mangsa yang cedera di kepala tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya.