SEORANG kakak mangsa terpaksa ditenteramkan oleh ahli keluarga kerana terlalu sedih dengan berita penemuan mayat Abu Hanifah di Taman Cempaka, Tampoi, Johor Bahru semalam.
JOHOR BAHRU - Seorang kanak-kanak lelaki ditemui mati lemas di Kuala Sungai Arang di sini semalam selepas dilaporkan hilang ketika bermain bola di kawasan lapang berhampiran rumahnya di Taman Cempaka, Tampoi di sini petang kelmarin.
Mayat mangsa, Abu Hanifah Abu Amir (gambar kecil), 12, ditemui terapung pada pukul 3.30 petang, kira-kira lima kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Difahamkan, ketika kejadian pukul 5.30 petang kelmarin, mangsa dikatakan bermain bola bersama abangnya, Bilal, 14, serta beberapa kanak-kanak lain sebelum bola berkenaan terjatuh di dalam longkang berhampiran.
Menurut Bilal, mangsa yang juga pelajar Sekolah Kebangsaan Tampoi 2 di sini bersama beberapa rakan lain cuba mengambil bola tersebut sebelum dia tergelincir ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras.
"Masa itu, hujan lebat dan air longkang deras. Saya lihat sendiri adik terjatuh dan terus hanyut. Saya dan rakan-rakan lain tidak dapat berbuat apa-apa," jelasnya.
Sementara itu, seorang polis bantuan yang menemui mayat mangsa, Rafi Jaffar, 37, berkata, dia mengetahui kehilangan Abu Hanifah ketika sedang makan di Pengkalan Nelayan Taman Tampoi Utama di sini.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0312&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz2NKpK8ZQ5
Hakcipta terpelihara