Operasi babitkan 30 batu nautika
Isteri Baheruzaman, Nor Hartini Abdul Hamid, 41, tidak dapat menahan sebak mengenang nasib suaminya.
Doa dibacakan sebelum operasi mencari dan menyelamat bermula.
KUANTAN - Hanya doa yang mampu dititipkan ahli keluarga buat masa ini agar keempat-empat pemancing ditemui selamat.
Kehilangan mereka bukan sahaja menjadi tanda tanya kepada anggota penyelamat yang menjalankan tugas mencari, tetapi juga ahli keluarga mereka yang setia menanti berita gembira mereka pulang dalam keadaan yang selamat.
Sudah pasti, isteri mana yang akan tenang apabila ketua keluarga yang menjadi tulang belakang selama ini hilang tanpa khabar berita. Bagaimanapun, mereka terus menaruh harapan agar suami mereka tidak ditimpa sesuatu perkara yang buruk.
Bagi Fairus Abdul Rahim, 42, isteri kepada Rahmat Chik, 51, dia sempat menghantar suaminya ke Jeti Kelab Memancing Cenderawasih kira-kira jam 6.45 petang pada hari kejadian.
Menurutnya, memang menjadi rutin untuk suaminya ke laut memancing tetapi selalunya dia akan memancing pada hari minggu.
“Paling lama dia ke laut pun dua hari tetapi pada hari Khamis saya cuba hubungi dia tetapi tidak dapat dan tetap menunggu jika dia pulang keesokan harinya, namun sangkaan saya meleset.
“Tetapi sehingga Jumaat dia masih belum balik sedangkan makanan yang dibawa hanya cukup sekali makan bersama empat rakannya,” katanya yang tinggal di Bukit Setongkol.
Fairus berkata, sebelum turun memancing pada hari rabu itu, suaminya merancang ke laut sejak Isnin lalu dan dia tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk berlaku memandangkan itu rutin suaminya sejak sekian lama malah boleh digelar ‘Otai’ dalam kalangan kaki pancing.
Bagaimana pun, ibu tiga anak itu masih mengharapkan berita gembira buatnya sekeluarga dan setia menanti sebarang berita tentang suaminya.
Pelik dengan sikap suami
Manakala, Norezawati Mohamad, 32, isteri kepada Azyyat Rahmat Yaacob, 40, berkata, suaminya sebelum ini tidak pernah pergi memancing ke laut namun Selasa lalu menyatakan hasrat untuk ke laut mengikut tiga rakan yang lain memancing.
Menurutnya, walaupun sedikit pelik namun dia hanya mendiamkan diri sahaja kerana memahami minat suaminya yang gemar memancing terutama pada hujung minggu.
“Petang Rabu lalu, dia meminta saya membeli ubat tahan muntah sebelum dia ke laut. Tiada sebarang perlakuan pelik dan dia memberitahu akan pulang pada hari Khamis.
"Namun, sehinggalah Jumaat lalu, dia masih tidak pulang, saya jadi risau malah rakan-rakannya yang biasa memancing di sungai datang bertanya mengenai dirinya kepada saya,” katanya ketika ditemui pada Operasi Menyelamat di Jeti Kelab Memancing Cenderawasih, di sini, semalam.
Norezawati yang bekerja sebagai pembantu klinik berkata, sebelum ini suaminya hanya memancing di sungai dan jarang melakukan hobinya itu pada hari biasa.
“Biasanya dia pergi memancing pada hari minggu tetapi kali ini dia pergi hari biasa malah saya juga tidak mengenali tiga rakannya yang turut serta.
“Bagaimana pun, saya tahu dia membawa semua alat keselamatan seperti jaket keselamatan dan baju hujan kerana dia seorang yang sangat menitikberatkan soal keselamatan bila pergi memancing,” katanya.
Katanya lagi, rakan suaminya memberitahu suaminya ada memuat naik gambar di dinding laman sosial sebelum gagal dihubungi pada malam tersebut.
Ayah pesan jaga ibu
Bagi anak tunggal kepada Abdul Karim Zakaria, 41, iaitu Rabhah Abdul Karim, 15, ayahnya sempat berpesan supaya menjaga ibunya, Nor Fadilah Mohd Salim, 51, yang sedang sakit dengan baik.
Katanya, dia masih berharap ayahnya selamat dan sentiasa berdoa tiada kejadian buruk menimpa. Selain ketiga-tiga kaki pancing, turut hilang adalah Baheruzaman Yusuf, 40, yang lebih dikenali sebagai Harun.
Operasi babitkan 30 batu nautika
Sementara itu, pihak polis meneruskan Operasi Mencari dan Menyelamat membabitkan kawasan perairan 30 batu nautika bermula di Jeti Kelab Memancing Cenderawasih, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, operasi mencari dan menyelamat itu akan dilakukan ke beberapa perairan termasuk Kemaman dan Tanjung Gemok.
“Rondaan akan dilakukan Polis Marin, Maritim dan TLDM menggunakan kemudahan seperti pesawat untuk mengesan mangsa di tengah laut.
“Buat masa ini, pihak berkuasa masih belum mendapat sebarang petunjuk bagaimana kita akan terus mencari di kawasan yang berkemungkinan dilalui oleh kaki pancing ini,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Jasmani turut mengingatkan sesiapa sahaja yang ingin ke laut supaya mendapatkan info cuaca daripada Jabatan Kaji Cuaca terlebih dahulu.
Katanya, dalam keadaan cuaca tidak menentu, mereka yang ingin melakukan aktiviti di laut harus berwaspada kerana bimbang kejadian tidak diingini berlaku.
“Kita tidak menolak kemungkinan bot yang dinaiki empat kaki pancing ini mengalami kerosakan enjin.
“Justeru, kita berharap kepada nelayan yang mungkin terserempak dengan kumpulan supaya memaklumkan kepada pihak polis,” katanya.
Mohd Jasmani turut melahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan berharap bersabar serta melakukan solat hajat.
Rabu lalu, keempat-empat kaki pancing itu dipercayai keluar memancing di kawasan perairan Pahang sejak enam hari lalu dikhuatiri hilang selepas tidak pulang sehingga 5 petang semalam.