“Saya rasa terkilan dan sedih kerana gagal menyelamatkan wang tunai RM20,000 dan barang kemas bernilai RM20,000 kerana api merebak dengan cepat,” kata suri rumah, Cheow Poh Gaik, 51, mangsa kebakaran di Kampung Palaniappa, Seberang Keretapi, di sini.
Dalam kejadian jam 10 malam kelmarin, sembilan keluarga di kawasan itu kini tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka hangus manakala dua rumah lain turut terjejas teruk.
Cheow berkata, ketika kejadian dia yang berada di dapur bersama anak perempuannya, Soh Phei Lyin, 16, bergegas keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri selepas mendengar jeritan suaminya memberitahu kebakaran yang berpunca daripada rumah jirannya.
“Saya terdengar suami menjerit beritahu ada api dari arah rumah jiran menyebabkan kami hanya sempat mengeluarkan dua motosikal, sebuah komputer dan beberapa dokumen penting sebelum bergegas lari keluar rumah menyelamatkan diri.
“Bagaimanapun, kad pengenalan anak perempuan saya, wang tunai dan beberapa barang kemas gagal diselamatkan memandangkan api merebak begitu cepat.
“Saya hanya mampu meraung melihat rumah terbakar dalam sekelip mata, malah bertambah menyedihkan kerana hanya dalam tempoh 15 minit saja rumah kami hangus dijilat api,” katanya ketika ditemui, semalam.
Sementara itu, suaminya, Soh Liep Seng, 59, berkata, dia tidak menyangka kejadian terbabit menimpa mereka sekeluarga serta jiran mereka kerana ia kebakaran kali pertama sejak dia mendiami rumah berkenaan pada 1964.
Katanya, semua wang tunai yang hangus itu hasil perniagaan bagi kegunaan sepanjang perayaan Tahun Baru Cina dan sebahagian daripadanya akan dimasukkan ke bank selepas sambutan Chap Goh Meh, beberapa hari lagi.
“Saya sedih dengan kejadian yang menimpa kami sekeluarga, malah ia berlaku ketika kami masih berada dalam suasana Tahun Baru Cina. Walaupun sedih kehilangan rumah pusaka peninggalan ayah, namun saya tetap bersyukur kerana kami sekeluarga selamat,” katanya.
Mangsa lain, Lim Chai Gim, 44, berkata dia yang terkejut sebaik menerima panggilan dari jiran segera bergegas pulang ke rumah dari tempat kerjanya di Simpang Kuala, di sini, bagi melihat keadaan rumahnya yang terbabit kebakaran berkenaan.
Katanya, bagaimanapun sebaik tiba, dia mendapati rumahnya sudah hangus dijilat api tanpa sempat menyelamatkan apa-apa.
“Ketika kejadian, hanya suami saya yang berada di rumah, namun dia juga tidak sempat menyelamatkan apa-apa kerana api merebak begitu cepat kerana keadaan rumah kami dengan jiran yang begitu dekat antara satu sama lain,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Leong Yip Meng, 50, berkata, dia tidak sangka tindakannya mengikut jentera bomba bagi melihat di mana lokasi kebakaran berakhir dengan kesedihan apabila rumahnya sendiri turut terbabit dalam kebakaran itu.
Katanya, dia yang ketika itu berada di sekitar Pekan Simpang Kuala tergerak hati untuk mengekori jentera bomba yang banyak melalui kawasan itu.
“Saya pelik apabila jalan dilalui jentera bomba sama dengan laluan pulang ke rumah, apabila semakin menghampiri kawasan kampung, saya terkejut apabila rumah yang terbakar membabitkan rumah saya dan jiran.
“Sebaik tiba saya lihat rumah sudah musnah dalam kebakaran itu dan kini saya hanya tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan apa-apa. Buat sementara waktu ini, saya terpaksa menumpang rumah adik yang tinggal tidak jauh dari sini,” katanya.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak Mohd Hassan Isa berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.17 malam dan tiba di tempat kejadian enam minit kemudian membabitkan empat jentera bomba termasuk sebuah jentera tangki bersama 16 jentera bomba sukarela dengan 140 anggota.